Translate

19 October 2024

Pembinaan WCE beri manfaat kepada Melaka - Ketua Menteri



Pembinaan WCE beri manfaat kepada Melaka - Ketua Menteri

Bernama

19/10/2024


Kerajaan Melaka yakin peruntukan yang disalurkan menerusi Belanjawan 2025 mampu memperkasakan pertumbuhan ekonomi Melaka sekali gus membantu merencanakan pembangunan yang lebih progresif bagi rakyat negeri ini, kata Ab Rauf. - Gambar fail Bernama


MELAKA: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan memberi manfaat kepada Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini kerana laluan berkenaan bakal menjadi alternatif untuk pengguna ke Melaka selain Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

"Kerajaan negeri yakin peruntukan yang disalurkan menerusi Belanjawan 2025 mampu memperkasakan pertumbuhan ekonomi Melaka sekali gus membantu merencanakan pembangunan yang lebih progresif bagi rakyat negeri ini.

"Peruntukan itu juga akan menjadi komitmen buat kerajaan negeri dalam merangka pelbagai inisiatif seperti bantuan kebajikan, menstruktur pembangunan serta merencana program yang lebih inklusif," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa projek berkepentingan rakyat untuk Melaka iaitu pembinaan pusingan U bertingkat dan pusingan U terus (Direct U-Turn) dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana di Melaka Tengah dan pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.

Turut diumumkan pembinaan Balai Polis baharu di Tanjung Minyak, Paya Rumput, di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, dua projek yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 untuk negeri itu dapat memberi keselesaan kepada rakyat.

Projek berkenaan adalah pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong dan naik taraf Pos Kawalan serta pembinaan blok baharu di Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian.

"Berkaitan peruntukan bagi menaik taraf pekan di sempadan terutamanya di sempadan selatan Thailand, saya menyambut baik dan mengharapkan ia akan segera dilaksanakan," katanya. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED