Translate

17 October 2024

PAC akan panggil Johari Abdul Ghani dan LHDN - Mas Ermieyati



PAC akan panggil Johari Abdul Ghani dan LHDN - Mas Ermieyati

Bernama

17/10/2024


Mas Ermieyati (kiri) berkata keputusan dibuat selepas PAC diberikan taklimat mengenai Laporan Ketua Audit Negara 3/2024 oleh Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam prosiding bermula November depan.

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dibuat selepas PAC diberikan taklimat mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 oleh Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi hari ini.

"Antara perkara yang menarik perhatian PAC dalam taklimat pada hari ini adalah Pengurusan Akaun Belum Terima (ABT) di bawah LHDN dan komitmen jaminan 1MDB.

"Sehubungan itu, PAC akan memanggil LHDN dan Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk prosiding bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung tindakan yang sedang diambil mengenai perkara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LKAN 3/2024 yang disiarkan baru-baru ini mengesyorkan kerajaan mendapatkan kembali aset berkaitan syarikat 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) daripada pelbagai pihak sama ada di dalam mahupun luar negara.

Menurut syor tersebut dana berkenaan penting untuk menampung perbelanjaan balik hutang syarikat 1MDB dan SRC International selain perbelanjaan hutang lain memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya 2028, seperti ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA.

LKAN 3/2024 turut menyebut sebanyak 262 atau 31 peratus daripada 842 pinjaman diberi kerajaan Persekutuan mempunyai tunggakan bayaran balik berjumlah RM9.612 bilion setakat 31 Dis 2023.

Tunggakan tersebut berdasarkan ABT, iaitu sejumlah amaun sepatutnya diterima kerajaan pada sesuatu masa berasaskan bil atau melalui dasar, perjanjian atau keputusan kerajaan yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED