Translate

16 October 2024

Lelaki dibaham harimau: Isteri dengar bunyi teriakan dan seretan ke arah hutan



Lelaki dibaham harimau: Isteri dengar bunyi teriakan dan seretan ke arah hutan

Bernama

16/10/2024




Isteri Allahyarham, Zainab Said, 54, (kiri) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping hari ini. - Bernama

TAIPING: Isteri kepada Adnan Ismail, 54, lelaki yang maut dibaham harimau tidak menyangka tindakan suaminya bangun tidur lebih awal daripada kebiasaan pada pagi semalam menjadi petanda dia akan pergi selamanya.

Zainab Said, 54, berkata pada hari kejadian suaminya ikut bangun pada 4 pagi iaitu rutin dia menyiapkan keperluan suami untuk keluar bekerja.

"Setiap hari saya akan bangun pada 4 pagi kemudian turun ke bilik air untuk mandi dan buat persiapan untuk suami bekerja sebelum menjelang subuh.







"Tapi semalam saya sedikit terkejut suami ikut bangun kerana kebiasaannya dia akan terjaga sebelum azan Subuh, ketika dia turun sahaja dari rumah terus diterkam harimau," katanya ditemui ketika menunggu proses bedah siasat selesai di Unit Forensik Hospital Taiping selepas mayat suaminya dibawa dari Hospital Gerik pagi tadi.

Zainab yang reda atas pemergian Adnan berkata semasa serangan harimau itu dia hanya terdengar teriakan kecil daripada suaminya disusuli bunyi seretan menuju ke arah hutan berhampiran sebelum menjerit meminta tolong mengejutkan beberapa lagi penghuni rumah lain.

"Apabila generator dihidupkan hanya kelihatan kain pelekat suami dan kesan darah yang mengarah ke dalam semak," katanya.

Zainab berkata mereka sebelum ini telah dimaklumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung amaran berkaitan ancaman harimau di kawasan berdekatan menyebabkan suaminya tidak keluar pergi bekerja dua hari kerana khuatir.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Mohd Nazhar Adnan, 30, berkata keluarganya masih terkejut dan bersedih atas kejadian yang menimpa bapanya.

"Saya minta orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan tidak sahih dan tidak benar berkaitan kejadian yang menimpa ayah saya.

"Ramai yang buat andaian sendiri menyatakan ayah saya warga asing dan paling kami terkilan ada yang berkata mayat ayah tinggal separuh selepas dibaham harimau," katanya menambah jenazah ayahnya akan dibawa balik ke kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenor.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa Nur Nazirah, 29, berkata bapanya sepatutnya pulang ke rumah di Kampung Ngangah, di Kuala Krai untuk bertemu ahli keluarganya.

Dia berkata bapanya telah lama tidak bertemu ibu, Roslaiti Sulaiman, 48, dan adik-beradiknya yang lain kerana bekerja di Gerik sejak lima bulan lepas.

"Ayah tinggal di sana (Gerik) bersama emak tiri yang kami panggil 'maksu'. Kami jarang berhubung kerana liputan telefon kurang bagus tetapi kami dapat tahu yang ayah mahu pulang semalam menerusi bosnya yang memaklumkan kepada ibu," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kuala Krai hari ini.

Nur Nazirah berkata dia hanya mengetahui kejadian berkenaan menerusi panggilan telefon daripada sepupu yang memaklumkan bapanya meninggal dunia dibaham haiwan liar itu pada 6.30 pagi semalam.

"Saya terkejut dan terus memaklumkan kejadian ini kepada ahli keluarga lain untuk bergegas ke lokasi kejadian. Selama hampir lima bulan bekerja di Gerik, ayah tidak pernah bercerita bertemu dengan haiwan liar," katanya

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik.

Mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED