Translate

01 October 2024

Negeri Sembilan harap rancangan bina Koridor Perindustrian Tengah diluluskan




Negeri Sembilan harap rancangan bina Koridor Perindustrian Tengah diluluskan

Bernama
01/10/2024 



Aminuddin bergambar bersama para penerima bantuan komputer riba pada Townhall Sejahtera Waghih Nogori di Dewan Komuniti Taman Coral Height, pada Isnin. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berharap kerajaan Persekutuan dapat meluluskan perancangan mewujudkan Koridor Perindustrian Tengah membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan dengan peruntukan dijangka sebanyak RM700 bilion.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pembinaan koridor itu penting untuk pertumbuhan pembangunan ekonomi meliputi 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah diyakini akan terus meningkat melebihi paras itu, sekali gus turut menguntungkan negeri-negeri terlibat.

"RM700 billion untuk penyediaan infrastruktur membabitkan empat negeri itu diharap disegerakan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan. Pemimpin utama keempat-empat negeri ini juga telah pun bersetuju supaya Koridor Perindustrian Tengah ini dilaksanakan segera. 

"Kalau kita berusaha selepas ini dengan bersungguh-sungguh, saya yakin ia melebihi paras itu dan akan peroleh jumlah lebih besar, malah melebihi yang sedia ada," katanya kepada pemberita pada program Town Hall 'Sejahtera Waghih Nogori' bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Beliau berkata pembinaan koridor itu juga bukan saja dapat meningkatkan KDNK, tetapi bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap isu membabitkan pemasangan khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini dan perbincangan antara pengusaha bersama pihak berkuasa tempatan, Ahli Majlis serta wakil rakyat sedang dilakukan.

"Di Port Dickson ini kita ada banyak pantai, bukan di Telok Kemang sahaja, di pantai-pantai lain tiada melibatkan pemasangan khemah kerana semuanya kita kawal, hanya di Telok Kemang sahaja, jadi tidak adil kalau hanya disebabkan satu ini sahaja ia menjejaskan pelancongan, itu saya tidak setuju.

"Kita ambil maklum perkara ini sejak awal lagi, saya pentadbir kerajaan Negeri Sembilan, perkara ini bukan mudah, kita perlu menghormati penduduk setempat kerana mereka telah lama di sana, ini cara kita dan mereka juga mencari rezeki," katanya.

Aminuddin berkata pihaknya yakin akan ada perubahan yang akan dilaksanakan menjelang tahun hadapan bagi memastikan keharmonian semua pihak dapat dipenuhi.

-- BERNAMA

KLTA dalam proses wujud garis panduan standard pelancongan menjelang TMM 2026



KLTA dalam proses wujud garis panduan standard pelancongan menjelang TMM 2026

Bernama

01/10/2024



Syed Azhar berkata, KLTA akan mempromosikan kekayaan alam semula jadi yang terdapat berhampiran Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke destinasi berkenaan. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) sedang dalam proses mewujudkan garis panduan mengenai standard pelancongan bagi pemain industri sektor itu dalam menguruskan aktiviti perniagaan mereka menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM).

Presiden KLTA, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, garis panduan itu akan memfokuskan kepada aspek keselamatan serta khidmat pelanggan bagi meningkatkan mutu pelancongan serta kepuasan pelancong yang berkunjung ke negara ini.

Beliau berkata, standard itu akan dibangunkan dengan kerja sama pihak berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tourism Malaysia dan setiap pemain industri yang mematuhi piawaian berkenaan akan diberi pengiktirafan oleh KLTA.

"Dengan adanya standard ini, pemberi khidmat akan tahu untuk membangunkan perkhidmatan pelanggan yang lebih interaktif dan sebagainya. Jadi, di seluruh bandar orang ramai akan bercakap tentang piawaian ini dan cara memperbaiki diri mereka dengan sepatutnya.

"Ini adalah baik untuk pelancongan dan saya percaya pelancong akan memberikan maklum balas yang lebih positif kepada kita," katanya selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama, di sini, pada Isnin.

Ketika lawatan itu, Syed Azhar dan ahli persatuan itu mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Bernama iaitu Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif, Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Nasriah Darus.

Dalam pada itu, Syed Azhar berkata, persatuan itu akan mempromosikan kekayaan alam semula jadi yang terdapat berhampiran Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke destinasi berkenaan.

"Kami sedang melihat untuk mempromosikan alam semula jadi dan aktiviti mencabar di luar Kuala Lumpur yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang terutamanya di kawasan Selangor seperti Kemensah dan Ulu Yam, selain kami juga berharap tidak lama lagi untuk lebih menonjolkan budaya serta gaya hidup negara ini," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan pengurusan tertinggi Bernama hari ini, Syed Azhar berkata, satu lagi pertemuan akan diadakan bersama Bernama bagi membincangkan secara terperinci usaha sama yang dapat diambil dalam mempromosikan sektor pelancongan di ibu negara.

Pada 2018, Kuala Lumpur menduduki tempat keenam dalam senarai bandar raya paling ramai dilawati di dunia dengan 13.79 juta pelawat.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kehadiran 31.4 juta pelancong pada 2025 dengan jumlah pendapatan pelancongan kira-kira RM125.5 billion. - BERNAMA

Felda mahu pupuk hubungan perniagaan Malaysia dan Indonesia



Felda mahu pupuk hubungan perniagaan Malaysia dan Indonesia

Bernama

01/10/2024



Ahmad Shabery semasa Mesyuarat Kerja Kebangsaan KEIND kali ke-3 pada Isnin. - Gambar FB Felda

JAKARTA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersedia untuk menghubungkan syarikat Malaysia, khususnya unit perniagaannya, dengan firma dalam Dewan Usahawan Indonesia (KEIND) untuk meneroka peluang baharu di kedua-dua negara dan antarabangsa.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggariskan potensi memanfaatkan gabungan pengetahuan termasuk sumber Malaysia dan Indonesia dalam mewujudkan pasaran yang lebih besar serta menguntungkan.

"Kami berharap dapat bekerjasama ke arah mencari pasaran yang lebih meluas di Eropah, Afrika, Jepun, dan Korea Selatan, yang akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak ," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Kerja Kebangsaan KEIND kali ke-3, di sini, pada Isnin.

"Sinergi antara Malaysia dan Indonesia akan membawa manfaat yang besar, bukan sahaja untuk kedua-dua negara, tetapi juga kepada rantau Asia Tenggara."

Acara yang memfokuskan kepada daya tahan, kemampanan termasuk pembangunan inklusif itu, mengumpulkan usahawan, pegawai kerajaan dan pemimpin perniagaan dari seluruh Asia serta Afrika.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery menyifatkan hubungan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia sama seperti dua negara sahabat yang berkongsi warisan budaya dan sejarah yang kaya.

"Kami mempunyai potensi besar untuk menyokong antara satu sama lain yang merentasi pelbagai bidang," kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2015 hingga 2018 itu.

Beliau turut menyatakan kejayaan beberapa perniagaan Indonesia di Malaysia seperti rangkaian kedai kopi, Kopi Kenangan, yang memasuki pasaran Malaysia pada 2022 dan berkembang pesat selepas COVID-19.

Indomie, jenama mi segera popular Indonesia, terus menikmati pasaran yang meluas di Malaysia dan di peringkat global, manakala Kopiko, jenama gula-gula kopi negara itu telah mengekalkan popularitinya di Malaysia selama bertahun-tahun sambil berinovasi dengan penawaran produk baharu, tambahnya.

KEIND ditubuhkan di Jakarta untuk menghimpunkan usahawan kecil, sederhana dan besar daripada pelbagai sektor, ia kini beroperasi di 28 wilayah di seluruh Indonesia, dengan wakil di pelbagai daerah, bandar serta antarabangsa. - BERNAMA

KLSCM 2024: Lebih 30 jalan sekitar ibu negara ditutup sementara



KLSCM 2024: Lebih 30 jalan sekitar ibu negara ditutup sementara

Bernama

01/10/2024



Lebih 30 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024 yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lebih 30 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2024 yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata, 15 jalan akan ditutup secara berperingkat bermula 5 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu dan 37 jalan bermula 3 pagi hingga 12 tengah hari pada Ahad.

"Laluan terlibat antaranya Jalan Kinabalu, Jalan Leboh Pasar, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Bulatan Dato' Onn, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Abullah.

"Jalan lain ialah Jalan Ampang, Jalan P Ramlee, Jalan Perak, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Dato' Onn, Jalan Tugu, Jalan Jelatek, Bulatan Segambut, Jalan Tun Razak dan Jalan Putra," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, 361 pegawai serta anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan membuat penutupan penuh secara berperingkat di jalan disenaraikan itu.

Dalam pada itu, Rusdi berkata, 12 laluan di sekitar ibu negara akan ditutup sementara secara berperingkat pada Khamis ini bagi memberi laluan kepada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Beliau berkata, JSPT Kuala Lumpur akan menempatkan 174 pegawai dan anggota bagi membuat penutupan penuh secara berperingkat di jalan terlibat perlumbaan bermula 10 pagi dan dibuka secara berperingkat.

"Pelepasan bermula pada 11 pagi di KLCC, Jalan Ampang dan peserta akan melalui beberapa jalan utama di pusat bandar iaitu Persiaran KLCC-Jalan Ampang-Jalan Yap Kwan Seng-Jalan Tun Razak-Jalan Ampang (ke arah MRR2).

"Jalan yang terlibat dengan penutupan adalah persimpangan Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, persimpangan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Tun Razak, persimpangan Jalan Yahya Petra, Lebuhraya Akleh, Jalan Yap Kwan Seng, persimpangan Jalan Ampang, Jalan Ampang Hilir, Jalan Desa Pandan dan Jalan Jelatek," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 atau Bilik Gerakan JSPT Kuala Lumpur 03-2071 9999 atau layari laman Facebook JSPTKL https://www.facebook.com/JsptKL/ atau mana-mana balai polis berhampiran.

- BERNAMA

Video lelaki lepas tembakan di tempat awam adalah operasi tembak gagak



Video lelaki lepas tembakan di tempat awam adalah operasi tembak gagak

Bernama

01/10/2024



Rakaman video yang tular pada Isnin menunjukkan seorang individu melepaskan tembakan di kawasan awam di Subang Jaya, dekat sini, adalah operasi menembak gagak yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya.

KUALA LUMPUR: Rakaman video yang tular pada Isnin menunjukkan seorang individu melepaskan tembakan di kawasan awam di Subang Jaya, dekat sini, adalah operasi menembak gagak yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi yang dijalankan pada Sabtu lepas telah mendapat kelulusan pihak Unit Pelesenan Senjata Api, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata, operasi berkenaan juga telah dimaklumkan kepada orang ramai melalui notis oleh MBSJ.

"Operasi disertai 25 peserta terdiri daripada orang awam yang memiliki lesen senjata api sah dan pihak penganjur juga mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, tular satu rakaman video mengenai kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di laman sosial Facebook dan mendapat pelbagai reaksi netizen.

Wan Azlan berkata, operasi yang diadakan bagi mengawal populasi gagak itu berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam. - BERNAMA

Kerajaan masih tanggung perbelanjaan subsidi diesel - Rafizi Ramli



Kerajaan masih tanggung perbelanjaan subsidi diesel - Rafizi Ramli

Bernama

01/10/2024



Kata Rafizi, walaupun harga diesel diapungkan, masih terdapat sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih lagi menanggung perbelanjaan pemberian subsidi diesel pada masa ini kepada sektor-sektor yang layak, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Dalam Audio Siar 'Yang Bakar Menteri' (YBM) Episod Keenam, beliau berkata, walaupun harga diesel diapungkan, masih terdapat sektor-sektor yang harganya diberikan subsidi kepada golongan tertentu seperti nelayan, pengangkutan awam serta industri logistik.

"Sekarang ini (subsidi diesel) tidak diapungkan 100 peratus, ia hanya melibatkan pengguna persendirian sahaja.

"Dan jumlah keseluruhan kepada kerajaan itu masih lagi signifikan kerana kita tidak menghapuskan subsidi, kita hanya menyasarkan sahaja," katanya bagi menjawab soalan Datuk Eric See-To atau nama samarannya, Lim Sian See mengenai harga runcit diesel yang tidak mengikut harga pasaran semasa.

Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel melibatkan penetapan harga mengikut harga pasaran.

Pada 10 Jun 2024, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula di stesen-stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.

Harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, lebihan wang daripada perbezaan harga diesel dengan harga semasa digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi diberikan oleh kerajaan kepada golongan sasar.

"Oleh itu, kalau ada perbezaan dari segi harga mingguan itu, ada masanya akan jadi lebih dan ada masanya kurang, jadi kesan bersih daripada lebih atau kurang harga itu masih lagi menjadi perbelanjaan utama kerajaan dalam bentuk subsidi diesel.

"Sekiranya ada lebihan pada minggu ini ia akan dibawa ke minggu hadapan ataupun wang itu sebenarnya digunakan untuk membayar subsidi yang masih lagi berbilion-bilion ringgit kepada pengangkutan awam dan semua sektor yang telah ditetapkan termasuklah inisiatif BUDI MADANI," tambahnya.

BUDI MADANI adalah usaha kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak meliputi bantuan individu (BUDI Individu), petani serta pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) serta syarikat dan kenderaan pengangkutan (MySubsidi Diesel).

Pada audio siar itu, See-To yang merupakan individu yang menggunakan nama samaran Lim Sian See dalam laman sosial Facebook bersetuju menjadi tetamu untuk program tersebut.

Beliau merupakan sebahagian pasukan komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri. - BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED