Keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) dalam isu pertikaian hak milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, lebih dikenali sebagai ‘Duta Eclave’, dengan Kerajaan Malaysia, boleh memberi implikasi serius kepada negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun kerajaan menghormati badan kehakiman, namun mereka harus melihat semula dari sudut perundangan, kerana prinsip penggunaan tanah itu demi kepentingan awam harus diberi pertimbangan.
Tegas beliau lagi, keputusan itu pada pandangan kerajaan, jika dijadikan dahuluan atau ‘precedent’ untuk kes pertikaian tanah sama ada sebelum atau sejak Merdeka, negara akan menjadi huru-hara.
Atas sebab itu, beliau berkata, ada keperluan untuk melihat semula dari sudut perundangan dan Jemaah Menteri akan memperhalusi perkara tersebut pada minggu hadapan.
“Sebab, tanah itu diambil untuk kegunaan awam, untuk badan-badan kerajaan dan sebagainya, bukan untuk swasta. Tetapi, hakim (Mahkamah Tinggi) mungkin tertakluk pada undang-undang yang ada. Jadi, saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri lihat semula undang-undang ini.
“Kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak Merdeka atau sebelum Merdeka? Yang diambil untuk tujuan kerajaan, diambil alih oleh sektor swasta, atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian, minggu-minggu berikutnya tukar kepada tanah industri?
"Jadi (bagaimana dengan) orang yang jual pada harga yang sangat rendah dan dapat sangat tinggi?” soalnya kembali.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara hari ini.
Pada Khamis, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan agar kerajaan perlu memindah milik tanah ‘Duta Enclave’ kepada Semantan Estate, selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Beliau juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
Memetik laporan Bernama, Semantan Estate pada 2003 memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Susulan keputusan terbaharu itu, Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan mengesahkan Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan telah memfailkan rayuan.