Translate

29 August 2024

Kim Pan-gon tidak profesional, FAM jadi mangsa - Hamidin





Kim Pan-gon tidak profesional, FAM jadi mangsa - Hamidin

Astro Arena

29/08/2024



Hamidin mendedahkan Pan-gon merayu kepadanya untuk menamatkan kontrak lebih awal atas alasan masalah keluarga melibatkan isterinya. - Gambar/ Stadium Astro

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin, menyifatkan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, sebagai tidak profesional susulan tindakan pengendali dari Korea Selatan itu meninggalkan Malaysia sehingga badan induk berkenaan menjadi mangsa.

Hamidin dalam satu sidang media di ibu negara hari ini mendedahkan bahawa Pan-gon merayu kepadanya untuk menamatkan kontrak lebih awal atas alasan masalah keluarga melibatkan isterinya, pada ketika dia sebenarnya sudahpun mencapai kesepakatan dengan kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

Hamidin jelas kecewa dengan tindakan itu memandangkan Pan-gon turut memberikan alasan FAM tidak memberikan sokongan yang sepatutnya sehingga menjadi faktor dia melepaskan jawatannya.


"Apabila selepas perlawanan menentang Chinese Taipei, dia (Pan-gon) bercuti selama dua minggu dan kemudian meminta tambahan seminggu lagi sebelum pulang ke sini.

"Apabila dia tiba di sini, dia telah berjumpa saya dengan begitu tergesa-gesa mahu saya melepaskan kontraknya.

"Saksinya adalah kedua-dua timbalan saya, setiausaha dan pegawai semua ada. Saya tanyakan mengapa dan dia kata ada masalah dengan isteri dan keluarganya. Itulah yang dia katakan kepada saya.

"Keesokan paginya, dia jumpa saya lagi untuk saya melepaskan kontraknya sehinggalah hari ketiga, dia betul-betul mahu menamatkan kontraknya.

"Saya menghormatinya kerana dia telah menaikkan ranking kita, itu kita tidak boleh nafikan.

"Pada hari Ahad, sehari sebelum saya berlepas ke Mallorca di Sepanyol, dia merayu kepada saya untuk melepaskan kontraknya.

"Jadi atas dasar itu, kalau ikutkan saya boleh tidak melepaskannya tetapi dia merayu kepada saya untuk dilepaskan dan pada akhirnya saya bersetuju.

"Saya tahu peminat akan marah kepada FAM apabila perkara ini berlaku tetapi apa yang mengecewakan saya, apabila dia melakukan sidang media, dia memberikan beberapa alasan seperti tidak mendapat sokongan dan pelepasan pemain, yang saya rasa dia mengambil kesempatan itu untuk dia dilepaskan.

"Akhirnya, saya mendapat satu panggilan telefon yang mengatakan bahawa dia sebenarnya sudah ada kesepakatan dengan Ulsan Hyundai sebelum dia berjumpa saya.

"Jadi itulah kisahnya, di sini dia tidak profesional," katanya.

Mengulas lanjut, Hamidin menambah: "Apa yang sedihnya, FAM menjadi mangsa. Kerana dia mendapat tawaran yang lebih baik dan memilih untuk meninggalkan Malaysia dengan alasan yang tidak betul.

"Saya mendapat tahu ketika cuti tersebut, dia telah pergi ke Ulsan Hyundai -- saya telah menghubungi pegawai dan ejen di sana. Media sana juga sudah keluarkannya terlebih dahulu.

"Jadi, FAM tidak boleh dipersalahkan kerana kami menjaganya dengan sebaik mungkin dan perlu diingat, Kim Pan-gon itu, saya yang memilihnya dengan sokongan EXCO FAM, dengan ilmu daripada pengarah teknikal dalam kalangan rakan-rakan saya dari Australia, Iran dan Jepun.

"Selepas ini, saya akan cari jurulatih yang lebih baik daripada Kim Pan-gon, itu janji saya kepada peminat.

"FAM mengenang jasanya dan berlembut hati kerana kalau ikutkan profesionalisme, kami boleh meminta pampasan satu setengah tahun daripadanya," katanya. - Stadium Astro

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED