Translate

30 August 2024

Keakraban dalam kepelbagaian terjemah 'wajah' Malaysia



Keakraban dalam kepelbagaian terjemah 'wajah' Malaysia

Bernama

30/08/2024




Prof Madya Dr Abd Hakim Mohad menyifatkan rakyat Malaysia ketika ini lebih bersikap terbuka dan melihat kepelbagaian dalam kalangan mereka itu sebagai fitrah kehidupan. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Momen pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menyarungkan pingat Olimpik kepada wartawan bertugas dari Astro Arena, Shahrazad Sani atau lebih mesra dikenali Bangmed, ternyata menyentuh hati rakyat Malaysia.

Video yang mempaparkan gelagat keduanya tular di semua platform media sosial selepas Zii Jia memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, pada 5 Ogos lalu.


Adegan secara spontan berlaku sejurus Bangmed bertanyakan tentang perasaan pemain badminton itu apabila berjaya menaiki podium dan dikalung pingat selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena.


Melihat kemesraan mereka, ramai netizen yang membuat komen di media sosial memuji dan menyifatkannya sebagai nilai persahabatan yang penuh dengan rasa hormat tanpa mengira batasan kaum.

Turut menerima pujian ialah persahabatan antara bintang beregu Negara M Thinaah dan Pearly Tan. Menceritakan keakraban masing-masing, Thinaah mengutuskan hantaran di laman sosial miliknya mengucapkan rasa terima kasih kepada Pearly dan berbangga kerana pasangan regunya itu membantunya mencapai cita-cita untuk beraksi di Olimpik.

Rata-rata yang melihat paparan itu menyifatkan ikatan persahabatan mereka sebagai satu aspirasi yang boleh diteladani oleh rakyat Malaysia.

Selain itu, tular juga kisah gelagat dua pelajar perempuan berlainan bangsa menikmati nasi bungkus di kantin sebuah sekolah.

Video yang dikongsikan oleh seorang pekerja di kantin itu menunjukkan kedua pelajar itu kelihatan gembira berkongsi sebungkus nasi dan makan bersama-sama menggunakan tangan.

Apa yang dipertontonkan ini, mungkin secebis kisah daripada ribuan lagi kisah tentang keakraban serta saling menghormati dalam kalangan rakyat yang 'menterjemahkan' wajah Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang hidup rukun dan damai.

KEAKRABAN

Mengulas mengenainya, Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Madya Dr Nur Azuki Yusuff berkata, wujudnya perasaan saling menerima dan bertolak ansur sejak sekian lama, menyerlahkan semangat keakraban dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Semangat itu, katanya, perlu disemai dan dibajai setiap masa di dalam jiwa rakyat di negara ini, bukan terhad dalam satu-satu perkara sahaja bahkan perlu merangkumi segenap urusan kehidupan.

''Tidak hanya di arena sukan, semangat keakraban berlainan kaum dan bangsa ini perlu diimplementasikan setiap masa dalam kehidupan harian termasuk di tempat kerja, di bidang pendidikan, pentadbiran dan juga politik.

''...dan saya begitu optimis dengan semangat 'bernegara' rakyat pada masa ini yang membuatkan kita kekal aman dengan pelbagai budaya dan agama, serta pada masa sama turut menjaga nilai ketimuran sebagai rakyat Malaysia,'' katanya.

Beliau menambah, perkara itu dibuktikan apabila Malaysia berada di kedudukan ke-10, Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) sebagai antara negara paling aman di dunia.

Menurut laporan itu lagi, Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik manakala New Zealand di tempat pertama diikuti Singapura di tempat kedua.

Dalam pada itu, Nur Azuki turut menepis dakwaan bahawa perpaduan rakyat ketika ini seakan goyah akibat pelbagai isu berbangkit termasuk yang menyentuh 3R iaitu raja, agama dan kaum.

''Kuat atau pudar keakraban mahupun perpaduan ini perlu didefinisikan setiap hari. Ia bergantung kepada rasa sepunya yang dikongsi rakyat. Semakin kuat rasa sepunya ini, semakin kuatlah perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

''Misalnya, apabila tiba bulan kemerdekaan, kita bersama meraikannya maka ramai yang akan mengibarkan Jalur Gemilang dan kita akan melihat bendera ini di merata tempat. Sebaliknya terjadi apabila berlaku pilihan raya, semua orang akan melihat wujudnya ideologi politik berbeza serta turut menzahirkan sokongan yang berbeza...perbezaan sebegini sebenarnya yang perlu diurus dengan baik,'' katanya.

PAYUNG ANAK WATAN

Mengulas lanjut, Nur Azuki berkata, bagi mengekalkan perpaduan sedia ada, rakyat Malaysia perlu menghayati nilai kebersamaan dalam "konsep payung anak watan".

Konsep itu menggambarkan kelompok masyarakat yang tinggal di kawasan sama serta dibenarkan mengekalkan identiti masing-masing dan diuruskan oleh kepimpinan berdasarkan struktur sosial mereka yang asal.

Beliau menjelaskan, konsep itu juga membuktikan bahawa kepelbagaian dan perbezaan latar belakang bukan penghalang untuk rakyat Malaysia tinggal bersama dengan aman dan harmoni sebagai sebuah negara bangsa.

''Kepelbagaian rakyat ini adalah sumber kekuatan dan masing-masing juga mempunyai peranan. Kepelbagaian inilah identiti Malaysia yang mewakili semua wajah Asia dan keunikan ini merupakan aset penting kita sebagai satu negara.

''Namun, apabila ada pihak yang memiliki agenda mengutamakan kepuakan atau kepentingan peribadi, itu sebenarnya yang perlu dibendung kerana ia akan menjadi barah dalam kalangan rakyat di negara ini,'' katanya.

Selain itu, katanya, semua rakyat bertanggungjawab menggalas usaha untuk mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi negara hari ini.

Ia termasuk mempertahankan perlembagaan persekutuan termasuk hak keistimewaan yang seperti mana yang termaktub dalam Rukun Negara.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, Rukun Negara adalah bersifat sejagat yang merentasi nilai-nilai murni semua bangsa serta agama, dan kerana itu ia perlu dijadikan pegangan ke arah membentuk penyatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

''Pemimpin negara dan kerajaan selaku pentadbir negara serta rakyat Malaysia keseluruhannya perlu menghayati prinsi-prinsip Rukun Negara ini.

''Rukun Negara yang dijadikan sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara bangsa perlu dipertahankan bagi menjaga sensitiviti rakyat termasuk isu berkaitan 3R, sekiranya kita mahu perpaduan serta kemerdekaan negara ini terus dikekalkan,'' katanya.

FITRAH

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Abd Hakim Mohad turut berpandangan senada dengan menyifatkan rakyat Malaysia ketika ini lebih bersikap terbuka dan melihat kepelbagaian dalam kalangan mereka itu sebagai fitrah kehidupan.

Sikap dihargai dan menghargai, katanya, turut dizahirkan apabila rakyat mudah menghulurkan tangan membantu mereka yang kesusahan tanpa mengira sempadan bangsa dan agama seseorang itu.

Beliau menambah, "moment of unity" berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia yang mana ia berpaksi kepada fitrah keinsanan sejati.

"Saya amat yakin bahawa situasi tersebut adalah suatu yang 'real' (tidak dibuat-buat) atau nyata, yang lahir dari hati yang ikhlas dan murni. Ia perlu dijadikan sebagai cara hidup kita. Semakin kerap ia berlaku, maka semakin cerahlah cahaya perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini,'' katanya.

Selain itu, beliau berkata, politik perkauman adalah antara isu terbesar yang perlu dielakkan supaya kesejahteraan dan kemakmuran negara terus terpelihara.

''Apa yang penting ialah bagaimana semua kaum dapat menikmati kehidupan yang baik di negara ini. Hal ini kerana kehidupan yang baik adalah kunci kepada kebahagian kita semua.

'' ...dan apabila rakyat hidup dalam keadaan bahagia, secara tidak langsung ia mendorong untuk kita lebih bersatu, dan kesannya kita akan mampu mengekalkan kemerdekaan negara sampai bila-bila,'' katanya.

--BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED