Translate

22 January 2022

Sidang Media Khas FAM: Hasil Siasatan Kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki

 


SIARAN MEDIA: BADAN SIASATAN BEBAS UMUM HASIL LAPORAN BEDAH SIASAT PRESTASI SKUAD HARIMAU MALAYA DI PIALA SUZUKI AFF 2020


2022-01-21

Selepas diumum penubuhannya pada 7 Januari 2022, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya telah bersidang sebanyak empat kali iaitu pada 12, 14, 16 dan 20 Januari 2022.

Ia bagi mencari punca kegagalan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Disember 2021 yang biarpun mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal ke separuh akhir.

Ahli-ahli badan siasatan bebas ini terdiri daripada bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dato' Alex Soosay; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli; bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Mohd Isa; bekas instruktur kejurulatihan AFC, Ganasegaran Suberamaniam; bekas kapten pasukan kebangsaan, Shukor Adan dan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O'Donell.

Selepas meneliti laporan-laporan berkaitan skuad Harimau Malaya sebelum, semasa dan selepas kejohanan tersebut serta menemu ramah individu-individu yang berkaitan, badan siasatan bebas telah mengenal pasti 10 dapatan (finding) seperti berikut:

 

1. Ketiadaan Pemain ‘Core

Faktor tiadanya khidmat sejumlah besar ‘core players’ untuk ke Singapura mendedahkan kelemahan proses komunikasi di antara ketua jurulatih dan pengurusan pasukan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Ketua jurulatih beranggapan tidak mendapat sokongan apabila beliau menamakan beberapa ‘core players’ daripada kelab-kelab tertentu.

Pengurusan pasukan pula kelihatan tidak berani untuk memberikan sokongan kepada pemilihan beliau ketika Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM menegaskan bahawa isu sebegitu tidak timbul kerana mana-mana pemain pun boleh diperolehi oleh ketua jurulatih untuk dipilih beliau.

 

2. Tempoh Persiapan Yang Singkat

Tempoh persiapan singkat kerana penganjuran TM Piala Malaysia 2021 yang masih berlangsung sepanjang November 2021 ternyata menjejaskan perancangan latihan pusat skuad Harimau Malaya. Seharusnya tempoh latihan minimum diperuntukkan dengan FAM perlu mengambil inisiatif mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur liga iaitu MFL dan pasukan-pasukan supaya objektif ini dapat dicapai.

 

3. Pandemik COVID-19

Faktor pandemik COVID-19 tidak ditangani sebaik mungkin, terutama daripada segi kekangan yang terpaksa dihadapi pemain serta faktor psikologi yang menjejaskan pemain yang terikat di dalam persekitaran ‘bubble’ sewaktu kejohanan berlangsung.

 

4. Penetapan Sasaran

Penetapan sasaran yang dilakukan secara sendirian atau ‘silo’ oleh pengurus pasukan yang menjadi satu bentuk tekanan kepada pasukan kejurulatihan dan pemain-pemain.

 

5. Kemampuan Pemain-Pemain

Pemilihan pemain-pemain yang tidak bersedia untuk menangani tuntutan permainan di peringkat lebih tinggi di pentas antarabangsa. Kemahiran teknikal, pengalaman dan aspek fizikal (physical conditioning) yang terhad mengakibatkan pemain-pemain kelihatan tenggelam ketika pertemuan dengan pasukan Vietnam dan Indonesia.

 

6. Percaturan Taktikal

Percaturan taktikal dengan memaksa pemain menyesuaikan diri dalam keadaan formasi berbeza juga tidak berkesan. Ia kerana tiadanya tempoh latihan yang mencukupi untuk membolehkan pemain-pemain memahami sebarang perubahan taktikal ketika permainan berlangsung.

 

7. Kekurangan Pasukan Sokongan (Multi-disciplinary)

Tiadanya pasukan sokongan khusus yang komprehensif daripada FAM bagi aspek penting yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan seperti pasukan sokongan teknikal serta sains dan perubatan sukan yang mencukupi.

 

8. Keharmonian Di Antara Pemain-Pemain

Faktor keharmonian di antara pemain-pemain tidak diberi perhatian serius. Kehadiran pemain naturalisasi yang gagal beraksi baik mencipta tekanan tambahan kepada kumpulan pemain-pemain lain.

 

9. Pemilihan Pemain Naturalisasi

Strategi naturalisasi pemain untuk pasukan kebangsaan tidak berkesan, dengan program naturalisasi yang lebih teliti dan berstruktur wajar dilakukan untuk inisiatif sama pada masa hadapan.

 

10. Kebajikan Pemain-Pemain

Ketiadaan persediaan awal dari segi rancangan pemakanan dan nutrisi yang terancang untuk pemain-pemain ketika di Singapura. Pihak pengurusan menghadapi kesukaran apabila penganjur hanya menyediakan “pack food”.

 

Selepas sesi pengumpulan maklumat dan beberapa sesi percambahan idea dalam kalangan ahli-ahli badan siasatan bebas ini, beberapa cadangan dan saranan ingin dikemukakan untuk perhatian dan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ia bertujuan untuk memastikan beberapa kelemahan yang dikesan dapat diperbaiki serta beberapa cadangan penambahbaikan yang diharapkan mampu menjadi panduan untuk pasukan pengurusan dan kejurulatihan skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Berikut adalah 10 cadangan dan langkah penambahbaikan tersebut:

 

1. Tempoh Minimum Latihan Pusat

Beberapa siri kem latihan berpusat skuad kebangsaan perlu dimasukkan dalam kalendar FAM setiap tahun, dengan tempoh minimum 14 hari perlu diperuntukkan bagi kem persiapan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan penting di peringkat antarabangsa. Minimum dua perlawanan persahabatan antarabangsa perlu dipertimbangkan dalam mempersiapkan pasukan kebangsaan.

 

2. Keperluan Pasukan ‘High Performance’

Adalah menjadi keperluan mandatori untuk pasukan kebangsaan berpaksikan data dan statistik dengan memiliki pasukan ‘high performance’ yang mengandungi staf teknikal, sains dan perubatan sukan serta penganalisa prestasi secara sepenuh masa.

Ini boleh dilakukan dengan menambah baik Unit Pasukan Kebangsaan menerusi pewujudan pasukan multi-disciplinary sepenuh masa untuk mengurus dan meningkatkan prestasi pasukan negara secara lebih berstruktur dan evidence based menerusi pewujudan jawatan penting seperti pengurus prestasi tinggi atau ‘high performance manager’, pakar sains sukan, pasukan perubatan lengkap, pakar psikologi dan nutrisi serta elemen lain seperti peralatan dan teknologi yang menepati keperluan peringkat saingan tertinggi.

Pengurus prestasi tinggi dan penganalisis video boleh diambil secara kontrak untuk digunakan sepenuhnya bagi setiap pasukan kebangsaan di bawah naungan FAM.

Pelantikan seorang pegawai statistik juga perlu untuk memastikan match summary disimpan sebagai usaha mengumpul data, latar belakang, profil dan jumlah caps/jaringan pemain dan beliau perlu bekerjasama rapat dengan pegawai media pasukan.

 

3. Pemansuhan Pengurus Pasukan dan Pewujudan Ketua Delegasi

Tidak meneruskan amalan pelantikan Pengurus Pasukan dalam kalangan pegawai-pegawai FAM. Jawatan Pengurus Pasukan seharusnya diberikan kepada Ketua Jurulatih (Coach cum Manager). Jawatan Ketua Delegasi sebaliknya boleh diperkenalkan jika perlu dan terhad bagi tugas-tugas “ceremonial” sahaja.

 

4. Komposisi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan

Komposisi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM harus dianggotai beberapa ahli yang berkelayakan daripada segi teknikal bola sepak – sama ada jurulatih ataupun bekas-bekas pemain yang pernah beraksi di peringkat tertinggi.

 

5. Kajian Teknikal Untuk Mencipta Nilai Tambah

Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM perlu melakukan kajian teknikal dan cadangan secara konsisten untuk membantu perancangan serta memberi nilai tambah kepada pasukan kebangsaan.

 

6. Pemilihan Pemain

Pangkalan data untuk menilai prestasi pemain-pemain secara seragam perlu diwujudkan, bagi membantu ketua jurulatih untuk membuat pemantauan dan pemilihan pemain secara evidence based. Ini termasuk memastikan pemain-pemain yang terpilih mendapat minit permainan yang menepati keperluan asas, dan langkah-langkah susulan jika terdapat kekurangan daripada aspek berkenaan.

Perlu memiliki ‘pool of player’ yang lebih besar serta menyeluruh meliputi semua kelab dan ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pemain-pemain dari sesuatu kelab.

Proses komunikasi di antara pegawai, ketua jurulatih serta pemain-pemain yang terpilih perlu ditambah baik dalam menangani faktor tekanan ataupun gangguan luar yang boleh menjejaskan fokus pemain-pemain.

 

7. Keperluan MFL Menyesuaikan Jadual Skuad Kebangsaan

MFL dan FAM perlu menyelaras dan menyesuaikan penjadualan liga dengan menjadikan persiapan skuad kebangsaan sebagai keutamaan. Faktor-faktor seperti penajaan dan penyiaran perlu diuruskan dengan bijak supaya tidak menjejaskan perancangan skuad kebangsaan menghadapi kejohanan-kejohanan penting.

 

8. Pelan Kontingensi Untuk Menangani COVID-19

FAM perlu lebih teliti, proaktif dan komprehensif dalam menangani situasi COVID-19. Perancangan alternatif seperti latihan di luar negara boleh dipertimbangkan demi kelangsungan persiapan skuad kebangsaan.

 

9. Keutamaan Sasaran Skuad Kebangsaan Pada 2022

FAM perlu memberi keutamaan (prioritise) kepada kejohanan-kejohanan yang ingin dicapai pada tahun 2022 kerana tidak mungkin kesemua kejohanan yang akan disertai akan dapat dicapai sasarannya secara keseluruhan.

 

10. Menyediakan Templat Laporan Yang Lebih Berinformasi

Satu templat untuk menyiapkan laporan perlu disediakan oleh FAM untuk diikuti oleh semua jurulatih pasukan kebangsaan kerana penilaian lengkap selepas sesuatu penyertaan pertandingan penting untuk rujukan dan panduan kepada penyediaan pasukan kebangsaan untuk tugasan seterusnya.

 

DATUK DELL AKBAR KHAN

Pengerusi

Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya

 

Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 21 Januari 2022

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED