Translate

22 January 2022

Covid-19 Malaysia 22 Januari 2022: Kes baharu : 4,116 kes (2,829,089 kes kumulatif);



Kenyataan Akhbar KPK 22 Januari 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

22 JANUARI 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 22 Januari 2022 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh: 2,858 kes (2,753,119 kes kumulatif, 97.3%)
  • Kes baharu : 4,116 kes (2,829,089 kes kumulatif);
  • Kes import : 498 kes (406 warganegara; 92 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 3,618 kes [3,504 warganegara (96.8%); 114 bukan warganegara (3.2%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 141 kes (116 kes disahkan COVID-19; 25 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 62 kes (44 kes disahkan COVID-19; 18 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,293 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 9 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 6,068 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 225 kluster.

Daripada 4,116 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 39 kes (0.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 4,077 kes (99.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 1: Nilai Rt Mengikut Negeri Berdasarkan Kes Yang Dilaporkan Pada 21 Januari 2022

NEGERINILAI RT
WP KUALA LUMPUR1.13
NEGERI SEMBILAN1.13
KEDAH1.06
JOHOR1.05
MELAKA1.04
SELANGOR1.01
WP PUTRAJAYA1.00
PULAU PINANG1.00
SABAH0.99
PAHANG0.98
PERAK0.96
KELANTAN0.95
TERENGGANU0.78
PERLIS0.00
SARAWAK0.00
WP LABUAN0.00
MALAYSIA1.03

SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19 DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sebanyak 462 kes baharu Variant of Concern (VOC)  iaitu varian Delta telah dilaporkan daripada 19 Januari 2022 sehingga 22 Januari 2022. Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) telah mengenalpasti 278 kes baharuMalaysia Genome and Vaccine Institute (MGI) telah mengenalpasti 155 kes baharu, manakala Institute of Medical Research (IMR) telah mengenalpasti 18 kes baharu, dan Faculty of Medicine University of Malaya (FOM-UM) pula telah mengenalpasti 11 kes baharu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 6,894 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 6,874 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak;

·      6,188 kes varian Delta;

·      439 kes varian Omicron;

·      233 kes varian Beta; dan

·      14 kes varian Alpha.

 Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak;

·      13 kes varian Theta;

·      Empat (4) kes varian Kappa; dan

  • Tiga (3) kes varian Eta

Perincian kes-kes positif COVID-19 varian VOC dan VOI mengikut negeri, saringan, dan kluster adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

STATUS LAPORAN KESAN ADVERS SUSULAN IMUNISASI (AEFI) VAKSIN COVID-19 BAGI DOS PENGGALAK SEHINGGA 20 JANUARI 2022

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sentiasa memantau risiko keselamatan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia termasuk vaksin COVID-19 melalui pemantauan laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI). Pemantauan AEFI ini terus dijalankan semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi dos penggalak (PICK-B). Sejak bermulanya PICK sehingga 20 Januari 2022, sejumlah 61,723,654 dos vaksin COVID-19 telah diberikan termasuk 10,192,887 dos penggalak.

Secara keseluruhannya, Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima sejumlah 24,411 laporan AEFI termasuk 984 laporan melibatkan dos penggalak vaksin COVID-19. Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 0.1 bagi setiap 1,000 dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan iaitu 0.4 per 1,000 dos. Demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, dan keletihan, merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, 51 (5.2%) kes diklasifikasikan sebagai serius iaitu bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos.

Pemantauan laporan AEFI yang diterima oleh NPRA setakat ini menyimpulkan bahawa trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer. Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin COVID-19.

TATACARA PELAPORAN AEFI OLEH PENERIMA VAKSIN DAN PETUGAS KESIHATAN

Penerima vaksin yang mengalami kesan advers perlu melaporkan AEFI melalui saluran yang telah disediakan. Bagi kesan advers ringan dan diketahui boleh berlaku susulan pengambilan vaksin, penerima vaksin boleh membuat notifikasi melalui aplikasi MySejahtera masing-masing untuk kesan advers yang tersenarai di dalam aplikasi tersebut.

Selain itu, laporan AEFI juga boleh dibuat secara atas talian dengan mengisi borang pelaporan untuk pengguna, iaitu Consumer Side Effect Reporting Form (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) [Consumers Reporting Side Effects to Medicines (ConSERF) or Vaccines (AEFI)]. Borang ini tersedia di dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Borang ini juga boleh dicetak untuk diisi, dan dihantar melalui e-mel atau pos ke NPRA.

Sekiranya penerima vaksin mengalami kesan advers yang serius, dapatkan nasihat dan rawatan dengan segera di mana-mana fasiliti kesihatan yang berhampiran. Dalam situasi ini, laporan AEFI akan dibuat melalui anggota kesihatan yang merawat kes tersebut. Anggota kesihatan boleh membuat pelaporan AEFI melalui laman sesawang NPRA atau Pharmacy Information System (PhIS) bagi fasiliti KKM. Bagi AEFI yang telah dikelaskan sebagai serius/rare/unexpected events, ianya akan disiasat dengan teliti dan seterusnya penilaian hubungkait antara kesan dan vaksin yang diambil akan dijalankan oleh Jawatankuasa Pakar Farmakovigilans Vaksin COVID-19.

Maklumat AEFI yang dikumpulkan adalah amat penting bagi KKM untuk terus menilai dan memantau nisbah manfaat dan risiko bagi setiap vaksin yang digunakan, bagi memastikan ianya kekal positif untuk rakyat.

Maklumat lebih lanjut mengenai perbandingan antara laporan AEFI yang diterima melibatkan pemberian dos primer dan dos penggalak bagi vaksin Comirnaty, Coronavac, dan AstraZeneca adalah seperti yang diperincikan di Lampiran 2 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

KAJIAN KESELAMATAN VAKSIN COVID-19 DARIPADA INSTITUT PENYELIDIKAN KLINIKAL (ICR)

Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Malaysia sedang menjalankan kajian keselamatan vaksin Case-Based Monitoring Of Adverse Events Following COVID-19 Vaccination (SAFECOVAC, NMRR-21-822-59745) dengan kaedah pemerhatian longitudinal secara aktif.

Populasi kajian adalah terdiri daripada individu yang layak menerima vaksinasi COVID-19 di antara Februari 2021 dan Disember 2022 di Malaysia. Kajian ini akan mengumpulkan data dan analisis ke atas individu yang telah menerima sekurang-kurangnya satu (1) dos vaksin COVID-19 dan seterusnya dimasukkan ke 216 hospital awam dan swasta dengan diagnosis seperti insiden platelet rendah (thrombocytopenia), pembekuan darah di saluran vena  (venous thromboembolism), strok, sakit jantung (myocardial infarction), miokarditis/perikarditis, gangguan rentak jantung, Bell’s Palsy, dan sawan/kejang yang merupakan Adverse Event of Special Interest (AESIyang menjadi fokus utama kajian.

Analisis interim antara Februari dan September 2021 yang melibatkan data kemasukan sebanyak 433,674 juga mengambil maklumat vaksin yang diberi, termasuk vaksin Comirnaty, AstraZeneca, dan CoronaVac. Hasil analisis interim ini menunjukkan insiden AESI yang jarang berlaku adalah berbeza mengikut vaksin COVID-19, dos pertama dan kedua, kumpulan umur, dan jantina penerima vaksin. Walau bagaimanapun, kadar kejadian AESI selepas vaksinasi adalah agak rendah.

Kajian SAFECOVAC ini menyimpulkan bahawa manfaat vaksin COVID-19 masih melebihi risiko dan pada masa ini pasukan SAFECOVAC sedang menganalisis data interim untuk diterbitkan dan hasilnya akan dikongsi kepada umum tidak lama lagi.

KKM akan sentiasa memantau keselamatan semua vaksin COVID-19 yang telah didaftarkan secara bersyarat di Malaysia bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat. Sekiranya terdapat bukti yang jelas vaksin-vaksin vaksin ini tidak selamat, KKM tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan regulatori yang sewajarnya.

Rakyat Malaysia juga diminta agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam menilai dan menyebar berita-berita yang tidak benar terutamanya berita-berita daripada sumber yang meragukan berkaitan vaksin COVID-19 termasuk program pemberian dos penggalak. KKM ingin menasihati dan menggalakkan agar rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan informasi kesihatan yang sahih berkenaan dos penggalak COVID-19 ini agar berhubung terus dengan pakar atau pegawai perubatan yang bertauliah.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn);
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
  • Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, andSeek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala; dan
  • Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok.

Dengan pengambilan vaksin dan dos penggalak, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. Nasihat KKM agar segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri anda dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Januari 2022 @ 6:00 petang

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED