Translate

30 January 2022

Mangsa banjir lega terima bantuan RM2,500




Bernama
Januari 30, 2022 

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera, di Bera, 29 Jan 2022. --fotoBERNAMA

BERA: Bantuan wang tunai sebanyak RM2,500 untuk setiap ketua keluarga membeli barangan keperluan yang diterima melegakan mangsa banjir di sini, selepas menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan baru-baru ini.
Pesara tentera Rosli Mohamad, 58, berkata beliau bersyukur menerima bantuan tersebut yang akan digunakan untuk membeli perabot yang rosak akibat banjir awal tahun ini, setelah rumahnya dinaiki air paras lutut.

Beliau yang menetap di Kampung Bukit Che Man di sini berkata ia ibarat rezeki yang tidak disangka dan tambahan buatnya selepas menerima BWI sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada Kerajaan Negeri Pahang.
"Bantuan BWI sebelum ini digunakan untuk membaiki pintu dan beberapa bahagian rumah yang rosak dan ia melibatkan kos yang agak banyak. Alhamdulillah dengan wang yang baharu diterima hari ini saya nak beli perabot iaitu katil dan tilam," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahkan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini semalam yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada majlis itu 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir di Bera, di sini menerima wang tunai RM2,500.
Bapa kepada lima anak Syamsul Saaidin, 48, yang bekerja sendiri pula berkata wang berkenaan akan disimpan untuk kegunaan kecemasan dan membaiki beberapa kerosakan rumahnya yang ditenggelami air paras dada.
"Banyak wang telah digunakan ketika banjir, malah baru ini juga sekolah dah buka jadi perbelanjaan lebih kepada persiapan anak-anak. Selepas terima bantuan ini saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana ia meringankan beban saya," katanya yang menetap di Taman Kerayong Indah, di sini
Bagi individu yang ingin dikenali sebagai Hong, 47, yang menetap di Taman Ann Lock, di sini wang tunai berkenaan akan digunakan untuk membeli barang elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk.
"Kali ini rumah saya dilanda banjir teruk iaitu paras paha yang mana sebelum ini air setinggi buku lali sahaja, banyak barang rosak tidak dapat dibaiki lagi terutama peralatan elektrik," katanya.
-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED