Translate

29 January 2022

Kemalangan membabitkan 11 kenderaan termasuk sebuah lori kontena berlaku pagi tadi.





Hilang kawalan, treler rempuh 8 kenderaan di Lebuhraya Karak
Astro Awani
Januari 29, 2022 

Beginilah keadaan treler yang hilang kawalan sehingga menyebabkannya merempuh lapan buah kenderaan dalam satu kemalangan di Kilometer 40, Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak pada pagi Sabtu. - Gambar ihsan PDRM Bentong

BENTONG: Tidak sampai 24 jam berlaku kemalangan ngeri yang meragut 4 nyawa sekeluarga yang melibatkan dua buah kenderaan di KM 2, Jalan Lebu - Mempaga semalam, berlaku lagi kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak yang mengakibatkan kesesakan teruk sepanjang hampir 20.5 kilometer dari MRR2 ke Bukit Tinggi Bentong.

Akibat hilang kawalan sebuah lori treler jenis Volvo telah merempuh lapan buah kenderaan dalam satu kemalangan di Kilometer 40, Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak pada pukul 9.30 pagi Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Noor, hasil siasatan mendapati lori treler itu yang dipandu seorang lelaki warganegara tempatan berusia 42 tahun yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala Kuantan telah merempuh lapan kenderaan di hadapannya.


Kenderaan terbabit ialah dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, 5 buah kereta jenis Perodua Axia, Myvi, BMW, Toyota Vios, Proton Saga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Bagaimanapun, pemandu lori treler tersebut mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan dan dahi manakala pemandu-pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Aliran trafik yang sesak selama tiga jam di lebuhraya berkenaan kembali normal menjelang pukul 1 tengah hari.

Tambah Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM4,000 ringgit dan tidak lebih RM10,000 dan boleh dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan.

Pihak polis juga memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.


Nahas 11 kenderaan di Lebuhraya KL-Karak, trafik sesak menghala ke Pantai Timur
Astro Awani
Januari 29, 2022 

Antara kenderaan yang terlibat dalam nahas di KM4, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KRK) arah timur. -Facebook Cikgu Alia

KUALA LUMPUR: Satu nahas membabitkan 11 kenderaan termasuk sebuah lori dilaporkan berlaku sekitar jam 9.30 pagi tadi.


Kejadian di KM4, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur itu menyebabkan kesesakan hampir dua jam dari Gombak ketika ini.

Memetik kenyataan dari Facebook ​Lembaga ​L​ebuhraya Malaysia, ​nahas melibatkan ​lori kontena ​dengan beberapa buah kenderaan lain di laluan Genting Sempah​-Bukit Tinggi​ yang mengakibatkan ​lorong kanan ​dan tengah terhalang​.

Nahas juga menyebabkan kesesakan teruk sepanjang 20.5 kilometer dari MRR2 ke Bukit Tinggi​.
Astro AWANI sedang mendapatkan maklumat berhubung kejadian dan akan melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, berdasarkan perkongsian baharu LPT Trafik, trafik sesak dari MRR2 hingga ke Tol Plaza Gombak menghala ke Kuantan.

Manakala di KM20.4 dari Plaza Tol Gombak menghala ke Kuantan hingga KM40.2.

Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan sentiasa pantau keadaan trafik menerusi perkembangan di media sosial rasmi LPT untuk perkembangan lanjut.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED