Polis Siasat Dakwaan Tidak Bersalah Langgar Lampu Merah
SABAH NEWS
Saman polis trafik PDRM yang dikenakan pemilik akaun Facebook Dan Denzel.
KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai kenyataan seorang pengguna jalan raya yang mendakwa dirinya tidak bersalah selepas disaman kerana melanggar lampu isyarat merah.
Penama akaun Facebook ‘Dan Denzel’ pada Ahad lalu memuat naik beberapa suntingan dari perakam memandu kereta (dash cam) pacuan empat roda beliau sejurus insiden kira-kira jam 10.50 pagi bertempat di Jalan Lintas Kolombong.
Dalam catatan yang mendapat 129 perkongsian itu, beliau berkata dirinya sudah melihat semula visual pada peranti berkenaan dan gagal mencari sebarang kesalahan sehingga dikenakan saman.
“Saya ada hak sepenuhnya untuk memberikan keterangan tetapi diabaikan,” dakwanya.
Manakala Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika itu sepasukan 12 anggota trafik telah menjalankan operasi utama bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan lalu lintas.
“Pemilik akaun menafikan melakukan kesalahan tersebut dan telah menunjukkan bukti melalui rakaman ‘dashcam’ kenderaan miliknya.
“SEHUBUNGAN ITU, IBU PEJABAT POLIS DAERAH KOTA KINABALU TELAH MENJALANKAN SIASATAN TELITI DARI PELBAGAI SUDUT UNTUK MENGENAL PASTI SITUASI SEBENAR INSIDEN…
“Ini termasuk mengambil keterangan semua anggota yang terlibat di dalam operasi berkenaan dan keterangan pemilik akaun Facebook tersebut,” katanya.
Menurut Zaidi, rakaman CCTV pada lampu isyarat di lokasi kejadian yang diperolehi daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah turut diteliti.
“Pihak Polis Daerah Kota Kinabalu ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau komen yang menggusarkan atau boleh menimbulkan persepsi yang negatif terhadap mana-mana pihak serta boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.