Translate

05 January 2022

Imigresen tahan 13 pekerja warga India dalam serbuan di kompleks beli-belah

 



Imigresen tahan 13 pekerja warga India dalam serbuan di kompleks beli-belah


05/01/2022 06:02 PM


PUTRAJAYA, 5 Jan -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 13 lelaki warga India atas kesalahan salah guna pas dan tinggal lebih masa ketika melakukan serbuan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata dalam operasi pada kira-kira 3 petang itu, 60 warga asing turut diperiksa dan pemeriksaan mendapati mereka digaji oleh majikan tempatan sama ada sebagai pemandu parkir valet, pengawal keselamatan, tukang cuci dan jurujual.


Katanya, pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan pekerja warga asing terbabit telah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang dan menunggu proses penghantaran pulang mengikut tarikh tiket yang disediakan majikan.


"Semasa serbuan dilakukan, warga asing ini dengan pantas menukar pakaian seragam yang dipakai dan cuba berlakon sebagai pengunjung bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa, tetapi tidak berjaya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Khairul Dzaimee berkata seorang lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.


Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED