Translate

06 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases - 5 [Malaysian -1 Non M'sian - 1 | Imported - 3 ] Total- 8668 | Active Cases- 71 | Discharged- 8476 | Deaths-121





Image

Kenyataan Akhbar KPK 6 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 11 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,476 kes (97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - 6 July-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 6 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat lima (5) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,668 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 71 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada lima (5) kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara (pemastautin tetap).

Dua (2) kes penularan di dalam negara melibatkan:

  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes bukan warganegara iaitu saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Daerah; dan
  • Selangor: satu (1) kes warganegara Malaysia iaitu saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8649). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8649;

Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kedua-dua kes tersebut memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

GRAF-NEW-White-Update-case-number-covid-19-01 (1)

STATUS TERKINI INDIVIDU DI BAWAH PENGAWASAN DAN PEMERHATIAN DI RUMAH (HOME SURVEILLANCE ORDER) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan status terkini bilangan Person Under Surveillance (PUS) yang didiscaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun 2020 dan kemudiannya diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO). Sehingga 6 Julai 2020 jam 12 tengah hari, daripada jumlah 5,804 individu di bawah arahan HSO ini, 414 orang masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13. Jumlah ini adalah 206 orang kurang daripada jumlah yang telah dilaporkan pada 2 Julai 2020. Selebihnya, iaitu 5,390 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan hari ke-13 didapati negatif. Namun, bilangan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang diperolehi dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Kita perlu mengambil iktibar daripada situasi di Negeri Victoria di Australia yang membuat pengumuman untuk menutup 55 laluan masuk di sempadan negeri itu dengan New South Wales (NSW) selepas kes COVID-19 kembali meningkat di sana. Ini susulan daripada jangkitan virus itu kembali menular di beberapa bandar utama dan salah satu faktornya ialah berlaku pelanggaran SOP oleh penduduk yang pulang dari luar negara di pusat-pusat kuarantin.

Pihak KKM ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pengembara yang pulang ke Malaysia, dalam pematuhan kepada syarat-syarat perintah ini termasuk hadir ke Klinik Kesihatan atau klinik swasta untuk membuat saringan hari ke-13. KKM juga menyampaikan penghargaan kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama mereka dalam aktiviti pengesanan individu yang perlu menjalani saringan hari ke-13. KKM berharap agar pengembara yang pulang ke Malaysia terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di bawah HSO.

HARI ZOONOSIS SEDUNIA 2020

Hari Zoonosis Sedunia disambut setiap tahun pada 6 Julai di seluruh dunia bagi menyatakan komitmen berterusan untuk mencegah, mengawal dan membasmikan penyakit-penyakit zoonosis, serta meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai penyakit zoonosis. Selain itu, pada tarikh ini juga Louis Pasteur telah berjaya mencipta vaksin rabies pada tahun 1885, iaitu vaksin pertama bagi merawat dan mencegah penyakit zoonosis.

Penyakit zoonosis adalah penyakit berjangkit yang berlaku antara haiwan dan manusia. Ia mempunyai hubungan rapat di antara manusia, haiwan serta persekitaran di mana manusia dan haiwan saling berinteraksi. Penyakit ini boleh disebabkan oleh pelbagai patogen penyakit seperti virus, bakteria, kulat dan parasit. Setiap tahun dijangkakan satu (1) daripada tiga (3) orang di dunia akan dijangkiti penyakit zoonosis.

Sempena sambutan Hari Zoonosis Sedunia 2020 ini, KKM berharap penglibatan orang ramai dalam pencegahan penyakit-penyakit zoonosis dapat dipertingkatkan, melalui:

  1. Amalkan kebersihan kendiri yang tinggi dengan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air yang bersih terutamanya selepas mengendalikan haiwan;
  2. Lindungi diri anda untuk mencegah daripada digigit oleh nyamuk, pinjal dan kutu;
  3. Elakkan dari digigit atau dicakar oleh haiwan;
  4. Simpan, masak dan kendalikan makanan dengan cara yang betul dan selamat. Pastikan daging atau bahan mentah yang lain dimasak secukupnya sebelum dimakan; dan
  5. Pastikan aktiviti riadah atau rekreasi dilakukan di tempat yang diselenggara dengan baik serta dalam keadaan yang bersih.

Jika dibandingkan prevalens penyakit zoonosis dari tahun-tahun yang lepas, didapati terdapat penurunan kes penyakit-penyakit ini. Amalan kebersihan kendiri yang tinggi dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Negara kita sememangnya telah menyumbang kepada penurunan kes penyakit zoonosis seperti Leptospirosis, Rabies, Brucellosis, Japanese Encephalitis, Q Fever dan Malaria Knowlesi.  Berikut adalah perbandingan bilangan kes dari tahun 2016 sehingga ke Jun 2020:

zoonosis

 

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Pihak KKM menyeru agar orang ramai terus kekal waspada dan amalkan nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan oleh KKM iaitu:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Selain itu, ingatlah kepada S.O.P, iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

6 Julai 2020 @ 5.00 petang

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 6 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH097
PULAU PINANG0121
PERAK0258
SELANGOR2 (1)2,062
NEGERI SEMBILAN01,027
MELAKA0256
JOHOR1 (1)693
PAHANG0365
TERENGGANU0111
KELANTAN0157
SABAH0378
SARAWAK1 (1)572
W.P. KUALA LUMPUR12,439
W.P. PUTRAJAYA097
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN5 (3)8,668

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

 SEJARAH PENYAKIT ZOONOSIS DI MALAYSIA

BIL. PENYAKIT TAHUN BERLAKU RINGKASAN

1 Nipah 1998 – 1999 Wabak bermula di Sungai Nipah, Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan dalam kalangan mereka yang mengendalikan khinzir. Ia menyebabkan 265 kes dengan diagnosa acute encephalitis. Daripada jumlah tersebut 105 telah meninggal dunia.

Virus penyebab jangkitan ini merupakan satu virus baru (Novel) dan telah diberi nama bersempanan dengan tempat ia ditemui iaitu Sungai Nipah. Punca jangkitan dipercayai dari kelawar.

2 SARS 2003 Wabak di Malaysia bermula dengan satu kes yang mempunyai sejarah melawat China pada Mac 2003. Pada akhir wabak ini, sebanyak lima (5) kes disahkan dijangkiti virus Coronavirus baru (novel) iaitu SARS-CoV. Seramai 129 kontak dikenalpasti dan semuanya sihat. Punca jangkitan adalah musang (civet cat).

3 Avian influenza 2004 Avian influenza adalah endemik di rantau Asia Timur termasuk China, Thailand dan beberapa buah negara IndoChina. Ia ditularkan oleh burung yang berpindah dari satu negara ke negara lain (migratory bird) akibat perubahan cuaca .

Kejadian avian influenza dilaporkan di Malaysia:

2004 – Kelantan

2006 – WPKL, Perak, Pulau Pinang

2007 – Selangor

2017 – Kelantan

2018 –Sabah
4 Rabies 2017 hingga sekarang Malaysia telah bebas rabies tetapi pada 2015, rabies dalam kalangan anjing telah dilaporkan di Perlis. Berikutan itu, survelan rabies pada anjing telah diperkukuhkan. Pulau Pinang, Perak dan Kedah ada melaporkan kes pada anjing. Tiada kes pada manusia dilaporkan.

Pada tahun 1 Julai 2017, Sarawak telah melaporkan kes rabies pada manusia. Berikutan itu, survelan pada anjing dipertingkatkan dan banyak anjing didapati positif rabies. Sehingga kini, 24 kes disahkan rabies telah dilaporkan dengan 23 kematian. Taburan kes rabies pada manusia adalah semuanya di Sarawak seperti di bawah:

2017 – 6

2018 – 10

2019 – 6

2020 – 2


5 Leptospirosis Penyakit leptospirosis telah wajib dinotifikasikan pada Disember 2010. Setiap tahun purata kes yang dilaporkan adalah dalam lingkungan 4,000 ke 4,500 kes.

Pada tahun ini, sehingga 27 Jun 2020, sebanyak 1,484 kes dilaporkan berbanding dengan 2,589 pada tahun 2019 untuk tempoh yang sama.

6 Salmonellosis Penyakit zoonosis yang ditularkan melalui makanan. Lazimnya ia disebabkan pencemaran dan cara pengendalian bahan mentah yang tidak higenik serta cara memasak yang tidak sempurna.

Satu contoh kejadian salmonellosis adalah keracunan makanan akibat memakan puding telur yang dilaporkan berlaku di Terengganu.

7 Brucellosis Penyakit zoonosis yang kerap dikaitkan dengan meminum susu mentah tidak dipasteurkan. Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah meningkatkan kesedaran penternak mengenai kepentingan pempasteuran dan telah membantu mengadakan kemudahan pempasteuran bagi penternak kecil-kecilan.

8 Q Fever Jangkitan berkaitan dengan pengendalian haiwan ternakan/ ruminan seperti lembu dan kambing. Kes ini pernah dilaporkan di Malaysia pada tahun 2017.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED