Translate

26 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-13 {Local-10 Imported-3} | Active-173 | Total-8897 | Discharged-8600 | Deaths-124





Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) Di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat enam (6) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,600 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - July 26-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 26 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 13 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,897 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 173 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 13 kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan seorang (1) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia. Tiga (3) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Pakistan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Kazakhstan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Indonesia (1 kes di Kelantan).

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu (1) kes adalah di kalangan bukan warganegara manakala sembilan (9) kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara (1 kes) adalah seperti berikut:

  • Johor: Satu (1) kes daripada Kluster Bukit Tiram.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (9 kes) pula adalah seperti berikut:

  • Johor: Enam (6) kes daripada Kluster Bukit Tiram;
  • Pahang: Satu (1) kes daripada saringan pra-prosedur;
  • Sabah: Satu (1) kes daripada saringan kontak rapat kepada kes ke-8662;
  • Sarawak: Satu (1) kes daripada Kluster Sentosa.

Sehingga kini, terdapat dua (2) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu (1) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 124 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-124 (kes ke-8743) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia. Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai 2020 serta mendapat rawatan pada 9 Julai 2020. Beliau dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut. Ujian COVID-19 didapati positif. Keadaan beliau didapati merosot dan kemudiannya semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia pada 26 Julai 2020 jam 12.04 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

NEW-GRAF-White-Update-case-number-covid-19 (3)

PENGEMBARA PULANG SEBELUM 24 JULAI 2020 DIGESA PATUHI PERINTAH PENGAWASAN DAN PEMERHATIAN DI RUMAH

Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) pada 26 Julai 2020, Kerajaan telah memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia (expatriate, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan Kerajaan bermula 24 Julai 2020.

Bagi pengembara yang telah pulang ke Malaysia dan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (Home Surveillance Order – HSO) sebelum 24 Julai 2020, mereka dinasihatkan agar mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan:

  • Duduk di rumah untuk menjalani kuarantin di rumah sepenuhnya dan elak bercampur gaul dengan ahli keluarga atau rakan serumah;
  • Sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain (social distancing) sukar diamalkan, mereka perlu memakai pelitup separuh muka (facemask);
  • Gunakan aplikasi MySejahtera untuk menjalankan penilaian kesihatan kendiri;
  • Gelang perintah pengawasan wajib dipakai sepanjang tempoh HSO;
  • Menjalani ujian COVID-19 pada hari ke-13 di klinik swasta atau klinik kesihatan yang diiktiraf oleh KKM, serta mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut;
  • Pada hari ke-14, pengembara perlu hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian COVID-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD.

KKM ingin memaklumkan sehingga 24 Julai 2020, seramai 17,897 orang pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh PKD. Walau bagaimanapun, sehingga 24 Julai 2020, didapati masih terdapat 2,897 orang pengembara yang masih belum tampil ke PKD untuk mendapat pelepasan.

Pihak KKM di peringkat Ibu Pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan terus kerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu yang masih belum tampil ke PKD dengan keputusan ujian COVID-19 yang perlu dijalankan pada hari ke-13.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM yang menasihatkan orang ramai agar waspada dan terus patuhi saranan dan nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-06 at 11.32.00

  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai norma baharu iaitu:

  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

26 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 26 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH0100
PULAU PINANG0121
PERAK0262
SELANGOR02,118
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR7737
PAHANG1370
TERENGGANU0114
KELANTAN1 (1)160
SABAH1385
SARAWAK1650
W.P. KUALA LUMPUR2 (2)2,460
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN018
JUMLAH KESELURUHAN13 (3)8,897

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import





Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED