Translate

24 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-21 {Local-16 Imported-5} | Active-161| Total-8861 | Discharged-8577 | Deaths-123





Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat tiga (3) kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,577 kes (96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - 24 July-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 24 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 21 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,861 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 161 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, lima (5) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja. Lima (5) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Singapura (1 kes);
  • Australia (1 kes);
  • Filipina (1 kes);
  • Pakistan (1 kes); dan
  • Qatar (1 kes).

Daripada 16 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tiga (3) kes adalah di kalangan bukan warganegara.

Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara (3 kes) adalah seperti berikut:

  • Johor: satu (1) kes daripada Kluster Warga Emas Kluang;
  • Pahang: dua (2) kes daripada Kluster Kluster ini akan diperincikan di bawah.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (13 kes) pula adalah seperti berikut:

  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Dua (2) kes daripada Kluster PUI Ramnad. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
  • Selangor: Satu (1) kes daripada Kluster PUI Al Khobar. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
  • Johor: Satu (1) kes daripada Kluster Warga Emas Kluang;
  • Pahang: satu (1) kes daripada Kluster Kluster ini akan diperincikan di bawah;
  • Sarawak: – Lapan (8) kes:
    • Lapan (8) kes daripada Kluster Sentosa;

Sehingga kini, hanya lima (5) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)Dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

NEW-GRAF-White-Update-case-number-covid-19 (1)

TIGA (3) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat tiga buah kluster baharu yang telah dilaporkan pada hari ini, iaitu:

  1. Kluster Elsa

Kes indeks kluster ini adalah seorang bukan warganegara (iaitu kes ke-8839) yang merupakan seorang krew kapal. Beliau mempunyai sejarah perjalanan menaiki kapal terbang dari Filipina dan transit di Korea. Beliau telah masuk ke Malaysia pada 16 Julai 2020 untuk mula bekerja. Saringan COVID-19 di Filipina pada 14 Julai 2020 dilaporkan negatif. Beliau kemudiannya menaiki kapal terbang ke Kuantan dan bermalam di sebuah hotel di sana, sebelum dibawa ke kapal untuk menjalani kuarantin di atas kapal setelah mendapat kelulusan Jabatan Laut.

Lima hari kemudiannya iaitu pada 20 Julai 2020, beliau mula mengalami gejala. Beliau dikesan positif pada 22 Julai 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Susulan itu saringan kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini seramai 108 telah disaring di mana:

  • Tiga (3) dikesan positif COVID-19 (yang melibatkan dua (2) bukan warganegara dan satu (1) warganegara);
  • 48 negatif; dan
  • 57 masih menunggu keputusan.

  1. Kluster PUI Ramnad

Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 6 Julai 2020  (iaitu kes ke-8817). Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai 2020. Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Susulan itu, siasatan dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Setakat ini seramai 18 orang telah disaring dan mereka terdiri daripada enam (6) ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat. Daripada jumlah ini:

  • Dua (2) dikesan positif COVID-19 (iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks);
  • 13 negatif; dan
  • 3 masih menunggu keputusan;

  1. Kluster PUI Al Khobar

Kes indeks kluster ini merupakan seorang warganegara Malaysia yang telah pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai 2020 (iaitu kes ke-8803). Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani HSO bersama lima (5) orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks menaiki pesawat yang sama. Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua (2) orang ahli keluarga yang lain.

Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 20 Julai 2020. Susulan itu, tujuh (7) orang ahli keluarga beliau telah disaring di mana:

  • Satu (1) dikesan positif COVID-19; dan
  • Enam (6) negatif.

Siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan termasuk saringan  penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini.

 

Ingin dimaklumkan bahawa ketiga-tiga kluster ini adalah merupakan penularan di dalam negara yang telah berpunca daripada kes import. KKM menggesa pengembara yang telah pulang ke Malaysia dan sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah untuk mematuhi sepenuhnya kepada syarat yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 10a dan 10b: Home Assessment Tool), misalnya:

  • Memakai pelitup separuh muka (facemask)sepanjang perjalanan dari Pintu Masuk Antarabangsa ke rumah.
  • Memakai facemask di rumah sekiranya penjarakan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain (social distancing) sukar diamalkan;
  • Jika bergejala, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.
  • Gelang perintah pengawasan wajibdipakai sepanjang masa perintah pengawasan dan pemerhatian.
  • Menjalani ujian COVID-19 pada hari ke-13 di Klinik Kesihatan / klinik swasta yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan salinan keputusan ujian tersebut.
  • Hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat dengan laporan ujian COVID-19 untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta untuk menanggalkan gelang perintah pengawasan pada hari ke-14 oleh PKD.

Ahli keluarga kepada individu di bawah HSO juga perlu turut patuh dengan memastikan terdapat penjarakan yang selamat dengan individu yang menjalani HSO. Individu yang didapati melanggar perintah ini akan dikenakan tindakan. Kerjasama semua pihak adalah diharapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM yang menasihatkan orang ramai agar waspada dan terus patuhi saranan dan nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C:iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

  • Amalkan 3W:iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai norma baharu iaitu:

  • S:Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O:Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P:Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

24 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 24 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH0100
PULAU PINANG0121
PERAK1 (1)262
SELANGOR3 (2)2,115
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR2720
PAHANG3369
TERENGGANU0114
KELANTAN0159
SABAH0384
SARAWAK9 (1)641
W.P. KUALA LUMPUR3 (1)2,457
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN017
JUMLAH KESELURUHAN21 (5)8,861

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

1. Warga emas 2. Wanita mengandung 3. Pesakit kronik 4. Pesakit imuniti rendah (kanser, HIV)


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED