Translate

28 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-39 {Local-28 Imported-11} | Active-212 | Total-8943 |





Kenyataan Akhbar KPK 28 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat enam (6) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,607 kes (96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - July 28-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 28 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 39 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,943 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 212 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 39 kes baharu yang dilaporkan, 11 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat (4) warganegara Malaysia dan tujuh (7) bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia. 11 kes import tersebut adalah dari negara:

  • Arab Saudi (1 kes di Sabah);
  • Ireland (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Korea Selatan (2 kes: 1 kes di Sarawak dan 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • India (1 kes di Kedah);
  • Rusia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Amerika Syarikat (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur);
  • Amerika Selatan (1 kes di Sarawak);
  • United Kingdom (2 kes di Sarawak); dan
  • Filipina (1 kes di Wilayah Persekutuan Labuan).

Daripada 28 kes penularan di dalam negara, 22 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan enam (6) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (22 kes) adalah :

  • Sarawak – 19 kes:
    • Tujuh (7) kes daripada Kluster Sentosa;
    • Empat (4) kes daripada Kluster Kejuruteraan Kuching;
    • Empat (4) kes daripada Kluster Satok. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
    • Satu (1) kes daripada Kluster Mambong;
    • Satu (1) kes daripada Kluster PUI Melbourne;
    • Satu (1) kes saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak;
    • Satu (1) kes saringan kendiri. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak;
  • Sabah: dua (2) kes saringan pesakit berisiko tinggi:
    • Satu (1) kes di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah;
    • Satu (1) kes di Hospital Lahad Datu;
  • Kedah: satu (1) kes daripada Kluster PUI Sivagangga. Kluster ini akan diperincikan di bawah.

Bagi kes jangkitan dalam negara (6 kes) di kalangan bukan warganegara pula adalah seperti berikut:

  • Sarawak: dua (2) kes daripada Kluster Sentosa;
  • Kedah: empat (4) kes daripada Kluster PUI Sivagangga.

Sehingga kini, hanya satu (1) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan beliau memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

NEW-GRAF-White-Update-case-number-covid-19 (5)

KLUSTER BAHARU DIKENALPASTI DI KEDAH DAN SARAWAK

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) buah kluster baharu yang telah dikenalpasti hari ini, iaitu:

  1. Kluster PUI Sivagangga, India:

Kes indeks kluster ini merupakan seorang pemastautin tetap yang telah pulang ke Malaysia dari negara India pada 13 Julai 2020 (iaitu kes ke-8937). Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA didapati negatif. Beliau telah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) namun didapati tidak mematuhi syarat perintah tersebut dan di dalam tindakan pihak berkuasa. Saringan ulangan didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 28 Julai 2020, 28 kontak rapat telah disaring. Daripada jumlah tersebut:

  • Lima (5) dikesan positif COVID-19; dan
  • 23 negatif.

Kes indeks merupakan seorang pemilik kedai makan. Empat orang daripada kes positif dalam kluster ini adalah pekerja  kedai tersebut yang merupakan bukan warganegara manakala seorang lagi adalah ahli keluarga kepada kes indeks. Kesemua kes positif ini berkongsi tempat kediaman dengan kes indeks. Premis yang dikenalpasti ini telah ditutup bagi proses pembersihan dan nyah kuman.

  1. Kluster Satok:

Kluster ini dikesan di sebuah pasar di Satok, Kuching, di mana saringan COVID-19 telah dijalankan di pasar tersebut. Sehingga 28 Julai 2020 sebanyak 229 orang peniaga telah disaring. Daripada jumlah tersebut:

  • Empat (4) dikesan positif COVID-19;
  • 225 negatif.

Kesemua kes positif adalah tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan. Aktiviti pencegahan dan kawalan jangkitan di pasar tersebut sedang dilaksanakan termasuk proses pembersihan dan nyah kuman bagi premis dan kemudahan yang berkaitan.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM menasihati orang ramai agar waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat ini sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian, misalnya:

  • Elakkan 3S / 3C :iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

  • Amalkan 3W :iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai norma baharu iaitu:

  • S :Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O :Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P :Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

28 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 28 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH6 (1)106
PULAU PINANG0121
PERAK0262
SELANGOR02,119
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR0737
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH3 (1)392
SARAWAK25 (4)675
W.P. KUALA LUMPUR4 (4)2,466
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN1 (1)19
JUMLAH KESELURUHAN39 (11)8,943

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import







Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED