Translate

27 July 2020

#Covid-19 #Malaysia l New Cases-7 {Local-3 Imported-4} | Active-179 | Total-8904 |





            

Kenyataan Akhbar KPK 27 Julai 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,601 kes (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Mapping baru BM - July 27-01

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 27 Julai 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat tujuh (7) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,904 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 179 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada tujuh (7) kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia. Empat (4) kes import tersebut adalah dari negara:

  • Pakistan (1 kes di Sabah);
  • Rusia (1 kes di Selangor);
  • Australia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan
  • Indonesia (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur).

Tiada kes penularan di dalam negara di kalangan bukan warganegara yang dilaporkan. Kesemua tiga (3) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia. Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Sabah – Tiga (3) kes saringan pra pembedahan:
    • Dua (2) kes dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu;
    • Satu (1) kes dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas.

Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

NEW-GRAF-White-Update-case-number-covid-19 (4)

KES POSITIF BAGI MINGGU EPID KE-30 DI MALAYSIA

Pada minggu epid ke-30 tahun 2020 (iaitu 19 Julai 2020 sehingga 25 Julai 2020), sebanyak 120 kes baharu yang telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan. Sebanyak tiga (3) negeri mencatat kes yang tertinggi iaitu Sarawak (48 kes), Johor (29 kes) dan Selangor (19 kes).

Pada 23 dan 24 Julai 2020, KKM telah menghantar pasukan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) ke negeri Sarawak untuk meninjau dan membantu memberikan pandangan mengenai situasi penularan serta pengurusan jangkitan COVID-19 di sana. Pasukan tersebut terdiri daripada Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pakar Perubatan Patologi dan sebagainya. Mereka telah bekerjasama rapat dengan pasukan pelbagai disiplin di Negeri Sarawak.

KUMPULAN SASAR BAHARU PENDEKATAN TERTUMPU (TARGETED APPROACH) TELAH DIKENALPASTI

Seperti yang KKM telah laporkan sebelum ini, satu kluster baharu yang melibatkan sebuah pusat keagamaan telah dikesan pada 25 Julai 2020 iaitu Kluster Bukit Tiram. Kluster ini melibatkan sebuah Gereja Roman Katolik dan aktiviti keagamaan di beberapa negeri lain. Kluster ini didapati turut melibatkan kes import dari negara Filipina namun siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti kes indeks dan juga punca jangkitan COVID-19 bagi kluster ini.

BT1

Sebagai tindakan proaktif Kerajaan bagi mencegah dan membendung penularan jangkitan COVID-19, Kluster Bukit Tiram kini telah dikenalpasti sebagai salah satu kumpulan sasar bagi pendekatan tertumpu (targeted approach) di mana aktiviti pengesanan akan dilaksanakan segera terhadap semua kontak rapat dan individu yang telah menghadiri pusat keagamaan yang dikenalpasti.

BT2

Selain melaksanakan saringan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection), individu yang berisiko tinggi atau berkait rapat dengan kumpulan ini juga amat digalakkan untuk melakukan saringan COVID-19 kendiri. Sekiranya mempunyai gejala, segera hubungi Klinik Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk mendapatkan rawatan.

Pihak KKM menyeru supaya kumpulan ini tidak disisih dan tidak harus distigmakan oleh masyarakat. Malahan kita perlu membantu dan menggalakkan mereka tampil untuk disaring. Ini diharap dapat membantu membendung penularan COVID-19 di Negara kita.

KEPATUHAN KEPADA PROSEDUR STANDARD OPERASI (SOP) ADALAH KUNCI UNTUK MENGAWAL DAN MEMBENDUNG PENULARAN JANGKITAN COVID-19

Sehingga 26 Julai 2020, kes COVID-19 di seluruh dunia telah mencecah 16,000,000 kes. Kes harian yang dilaporkan pada 26 Julai 2020 pula adalah sebanyak 259,037 kes. Situasi COVID-19 di seluruh dunia yang semakin melarat adalah amat membimbangkan. Sekiranya kes harian COVID-19 di Malaysia meningkat secara mendadak, fasiliti kesihatan Negara kita tidak akan dapat menampung beban yang tinggi seterusnya melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia. Justeru, bagi mengelakkan daripada berlakunya situasi demikian, setiap individu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat perlulah patuh kepada SOP dan nasihat-nasihat KKM.

Orang ramai juga digesa agar terus patuh kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) dan amalkan kelaziman baharu dalam usaha mencegah penularan COVID-19. Amalan penjarakan sosial yang selamat (social distancing), menjaga kebersihan tangan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta pemakaian alat pelitup muka (facemask) di tempat awam dan tempat yang sesak perlu diamalkan setiap masa.

Seperti yang telah diumumkan YB Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), pemakaian facemask di dalam pengangkutan awam dan tempat-tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos 2020 adalah diwajibkan.

Setiap individu perlu mengambil serius dan patuh setiap saranan Kerajaan yang ditetapkan untuk mencegah jangkitan COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM menasihati orang ramai agar waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat ini sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian, misalnya:

  • Elakkan 3S / 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

WhatsApp Image 2020-06-26 at 3.10.48 PM

  • Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat pelitup separuh muka (penutup hidung dan mulut – facemask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
    • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai norma baharu iaitu:

  • S: Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O: Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P: Penjarakan sosial (social distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

27 Julai 2020 @ 5.00 petang.

 

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 27 JULAI 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS018
KEDAH0100
PULAU PINANG0121
PERAK0262
SELANGOR1 (1)2,119
NEGERI SEMBILAN01,028
MELAKA0258
JOHOR0737
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH4 (1)389
SARAWAK0650
W.P. KUALA LUMPUR2 (2)2,462
W.P. PUTRAJAYA098
W.P. LABUAN018
JUMLAH KESELURUHAN(4)8,904

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import










Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED