Polis kesan wanita dakwa bakal bernikah dengan Tengku Mahkota Pahang
13 Disember 2024, 5:22pm
=
KUANTAN: Polis sedang mengesan seorang wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, susulan hantaran tular di media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana fitnah dan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian.
“Kita siasat perkara ini dan dalam tindakan mengesan suspek,” katanya.
Selasa lalu, Istana Pahang menafikan sebarang perancangan perkahwinan melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononya akan berlangsung April tahun depan.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, dakwaan itu adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.
Hantaran tular itu dimuat naik di Instagram oleh pengguna bernama Faridah Daud (faridah.daud_l), yang mendakwa dirnya bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Hassanal.
Wanita itu juga didakwa memberikan butiran palsu mengenai majlis perkahwinan diraja itu yang mencetuskan kekeliruan dan menjadi bahan spekulasi di media sosial
WANITA MENDAKWA DIRINYA BAKAL BERKAHWIN DENGAN TENGKU HASSANAL IBRAHIM PADA TAHUN HADAPAN..!
Istana Pahang kesan fitnah dimuat naik individu sama, nafi Tengku Hassanal bakal berkahwin April 2025
ISTANA Pahang menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dengan seorang wanita yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, hantaran yang dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
"Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita tersebut mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada bulan April tahun depan dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
"Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik individu sama dan meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuat naik selain portal rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain portal tersebut, beliau berkata, orang ramai boleh merujuk platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube yang hanya menggunakan nama akaun 'Kesultanan Pahang'.
"Tindakan tegas boleh diambil terhadap individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu-gugat keharmonian khususnya Istana Pahang," katanya.
Pada 3 Oktober lalu, Istana Pahang menafikan khabar angin mengenai majlis perkahwinan diraja Tengku Mahkota Pahang dengan seorang wanita yang tersebar di media sosial.
Dakwaan itu bermula selepas hantaran dimuat naik di Instagram oleh pengguna Farida.1111111 pada 24 September yang mendakwa mengenai 'Majlis Perkahwinan Diraja antara Tengku Hassanal dan Cik Farida Daud'. — The Star
Selain