Anggota polis dan isteri maut kemalangan
MyMetro
Mutakhire
Lokasi kemalangan di Jalan Syed Putra. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
“BARU dua hari lalu mereka sekeluarga datang ke rumah kami di Taman Pelangi, Sentul namun tak masuk kerana mahu cepat,” kata Ramzi Ibrahim, 40.
Ramzi adalah abang ipar kepada Nurul Ashikin Kamarudin, 28, yang maut bersama suaminya Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, dalam kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja di Jalan Raja Laut.
Kejadian 8.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Muhammad Syakiran yang juga anggota polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam merempuh belakang lori di susur keluar Jalan Syed Putra.
Nurul Ashikin maut di tempat kejadian manakala suaminya disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 10.40 pagi.
Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki, Arfan Zikri, 2.
Ramzi berkata, adik iparnya itu sering menziarahi keluarganya pada waktu lapang.
“Namun dua hari lalu dia tak naik ke rumah dan memberitahu ingin cepat kerana suaminya perlu bekerja.
“Apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya. Setakat ini penjagaan anaknya masih dalam perbincangan keluarga dan akan diputuskan nanti,” katanya ketika ditemui hari ini.
NURUL Ashikin dan Muhammad Syakiran.
Menurutnya, jenazah pasangan itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rekang, Melawi, Bachok, Kelantan iaitu di kampung suami isteri itu hari ini sejurus selesai proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki melanggar bahagian belakang sebuah lori.
“Siasatan mendapati mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha 135 LC ingin mengubah laluan ke lorong tengah bagaimanapun gagal mengelak lori sebelum merempuh belakang lori berkenaan.
“Ketika kejadian keadaan trafik sesak menyebabkan lori itu perlahan dan berhenti,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa.
Menerusi laman Facebook rasmi PDRM, Abdul Hamid turut menitipkan nasihat buat warga PDRM agar sentiasa berhati-hati terutama ketika bertugas di lapangan.
“Semoga roh Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran dan Allahyarhamah Puan Nurul Ashikin dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama solihin,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 5:20 PM
Bedah siasat dedah Nurul Ashikin hamil kembar
MyMetro
NURUL Ashikin dan Muhammad Syakiran.
Nor Amalina Alias
am@nstp.com.my
NURUL Ashikin Kamaruddin yang meninggal dunia dalam kemalangan bersama suaminya, Muhammad Syakiran Shamsuddin di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, hari ini mengandungkan anak kembar.
Menurut Nur Azmawati Shamsuddin, 37, berita kehamilan itu hanya diketahui mereka sekeluarga selepas bedah siasat ke atas mayat Nurul Ashikin selesai pada 1 tengah hari.
Kakak kepada arwah Muhammad Syakiran itu berkata, mereka sekeluarga sangat terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku, apatah lagi kandungan arwah sudah berusia dua bulan.
Katanya, pasangan itu mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Arfan Ziqri yang berusia 22 bulan.
“Keluarga memang terkejut sebab kami belum dimaklumkan mengenai kandungan arwah, mungkin kerana usia kandungan masih awal.
“Namun, saya dimaklumkan oleh adik-beradik yang berada di Kuala Lumpur, mereka menemui buku merah jambu (buku pemeriksaan kandungan) dalam beg tangan Nurul Ashikin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nur Azmawati berkata, arwah Muhammad Syakiran juga mempunyai kembar iaitu Muhammad Syakirin, 30, yang tinggal di Bachok, Kelantan dan sudah berumah tangga serta ada dua anak.
“Lebih memilukan apabila kami baru berkumpul di rumah arwah beberapa hari lalu kerana berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan arwah juga menghantar adik bongsu (Muhammad Nazrul, 19) di stesen bas malam tadi (semalam) untuk pulang ke Kelantan.
“Nazrul pun tiba pada 7 pagi tadi (hari ini). Tiba-tiba kami terima pula berita mengenai mereka kemalangan,” katanya yang memberitahu jenazah kedua-duanya akan dihantar pulang hari ini dan dijangka tiba malam ini.
Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, Bachok.