"Cleopatra bukan transgender, bukan PA saya" - Syed Saddiq jawab fitnah
Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | Oktober 22, 2019 15:27 MYT
Gambar Syed Saddiq mengadakan mesyuarat dengan Cleopatra dan beberapa pegawai lain menjadi tular dan mengundang pelbagai spekulasi. - Gambar Instagram Cleopatra_x3
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi penjelasan berhubung pelbagai fitnah dan tohmahan bukan sahaja kepada dirinya, malah individu di dalam video yang tular baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan itu dengan tegas menafikan melantik pembantu mahupun setiausaha sulit daripada golongan transgender.
Menurut beliau, khabar angin yang tular berserta video serta gambar wanita berkenaan di pejabatnya bukan seperti yang didakwa.
“Ada fitnah berkata dia PA (pembantu peribadi) atau setiausaha saya, itu jelas fitnah. Kalau nak semak boleh tanya pegawai tertinggi KBS.
“Kalau tengok portal kementerian, itu pun tahu tak betul,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Syed Saddiq berkata, beliau dimaklumkan individu yang menemuinya itu adalah wanita sejati, selain mempunyai dua orang anak kandung.
“Saya dengar berita tular bahawa dia datang jumpa saya dikatakan transgender sampai mereka (netizen) guna perkataan pondan.
“Lepas itu saya terus semak dan dia datang secara berkumpulan, saya dimaklumkan bahawa dia ada anak dua orang, anak kandung,” katanya lagi.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Cleopatra bersama pegawai-pegawai lain dalam mesyuarat di Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini. - Gambar Instagram Cleopatra_x3
Tular satu video berdurasi satu minit memaparkan Syed Saddiq mengadakan pertemuan dengan seorang wanita cantik di pejabatnya.
Wanita yang menggunakan nama profil ‘Cleopatra’ di laman Instagramnya itu didakwa netizen seorang transgender yang bekerja dengan Syed Saddiq.
A VERY COOL CLEOPATRA POST- A Single mummy with two babies, end the fiasco!
https://www.instagram.com/cleopatra_x3