Translate

30 October 2019

JENAZAH anggota polis dan isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur selamat dikebumikan di Bachok,




Jenazah Syakiran, isteri selamat dikebumikan

MyMetro


FAUZIAH bersama suami, Kamaruddin Harun, 60, membaca doa di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rekang Hilir. Bachok. FOTO Nor Amalina Alias.


Nor Amalina Alias
am@nstp.com.my





JENAZAH anggota polis dan isteri yang maut dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur selamat dikebumikan di Bachok, awal pagi hari ini.

Jenazah Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30 dan Nurul Ashikin Kamaruddin, 27 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir, jam 2.20 pagi.


Terdahulu, kedua jenazah itu tiba di rumah keluarga Syakiran di Kampung Repek di Bachok, jam 1.01 pagi dengan dua van jenazah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Suasana pilu apabila ketibaan jenazah diiringi tangisan ahli keluarga selain anak tunggal mangsa, Muhammad Arfan Rizqi berusia satu tahun 10 bulan asyik menyebut ‘abi...abi...’ memanggil arwah Syakiran.

Hadir memberi penghormatan terakhir Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dan rakan-rakan serta kira-kira 300 penduduk kampung.

Ibu Nurul Ashikin, Fauziah Dollah, 63, berkata, dia dan suami, Kamaruddin Harun, 60, akan menjaga anak tunggal pasangan suami isteri itu.

Katanya, ini kerana dia dan suami hanya tinggal bersama seorang lagi cucu, manakala anak-anak yang lain sudah berkeluarga dan tinggal di Kuala Lumpur.

“Kali terakhir berjumpa arwah anak pada September lalu ketika dia balik bercuti, kali terakhir WhatsApp dia pun tiada sebarang perubahan pelik.

“Sekarang saya juga jaga seorang cucu darjah empat, jadi biarlah kami yang jaga anak arwah (Rizqi),” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Rekang Hilir, di Bachok, awal pagi tadi.

Fauziah berkata, Ashikin adalah anak keempat daripada lima beradik dan sudah enam tahun berkahwin dengan Syakiran.

“Kami juga tidak tahu berita kehamilannya sehingga dimaklumkan ahli keluarga selepas bedah siasat, namun saya anggap ini takdir dan reda dengan pemergian anak, menantu dan dua bakal cucu kembar,” katanya yang mempunyai 12 cucu dan tinggal di Kampung Kadok, Ketereh.

Sementara itu, video Allahyarham Syakiran mendukung sambil bergurau dengan anaknya menjadi kenangan terakhir keluarga dan tatapan anaknya kelak.

Video berdurasi lima minit itu sempat dirakam adik bongsu arwah Syakiran, Muhammad Nazrul, 19, ketika berada di rumah suami isteri itu pada 27 Oktober lalu sambil menonton perlawanan separuh akhir Piala Malaysia Kedah menentang Pahang.

Lebih memilukan dalam rakaman itu jelas memaparkan kemesraan bapa dan anak dengan rengekan manja Rizqi selain turut kelihatan kelibat Nurul Ashikin.

Muhammad Nazrul berkata, dia merakam video itu untuk tontonan ahli keluarga memandangkan dia bersiar-siar beberapa hari di Kuala Lumpur dan tinggal di rumah arwah.

“Malam kelmarin, abang sempat hantar saya menaiki bas dan pagi esoknya selepas hantar Rizqi ke rumah pengasuh, mereka terbabit dalam kemalangan.

“Saya baru sampai Kelantan jam 7 pagi, tidak lama kemudian menerima perkhabaran duka ini, pemergian mereka secara tiba-tiba mengejutkan keluarga terutamanya ibu, Mariah Ag Senik, 58,” katanya.

Anggota polis Balai Seksyen 6 Shah Alam itu maut bersama isteri ketika dalam perjalanan ke tempat kerja selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori jam 7.59 pagi semalam.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED