Debaran kedua buat Omar, bertentang mata dengan Sumareh
Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani | September 08, 2019 18:16 MYT
Sumareh mendukung Omar apabila masing-masing mengakui teruja dapat bertemu. - Foto FAM
KUALA LUMPUR: Selepas mengalami debaran menyaksikan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia pada Khamis lalu, kini Omar Saiful Razman, 8, mengalami debaran yang berbeza.
Peminat cilik Harimau Malaya itu yang tular videonya selepas menitiskan air mata atas kemenangan membenam skuad Garuda, hari ini dipertemukan dengan idolanya, Mohamadou Sumareh.
Detik-detik kegembiraan itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun laman sosial, Facebook persatuan itu.
Selain dapat bersalaman, Sumareh yang turut mengakui teruja dapat berjumpa dengan Omar, menyampaikan beberapa keping tiket bagi menyaksikan perlawanan antara Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa ini.
“Awak ok? Saya lihat video awak. Saya sangat gembira. Terima kasih banyak-banyak. Saya peminat awak juga, peminat-peminat saya pun minat awak juga,” kata Sumareh.
“Semoga berjaya menentang UAE nanti,” kata Omar kepada Sumareh.
Bukan hanya Sumareh, Omar juga dilihat dapat bertemu dan berbual bersama penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.
Pada Khamis lalu, ibu Omar yang juga pelakon, Nadiya Nisaa berkongsi video debaran yang dilalui anaknya itu yang menagih kemenangan Malaysia menentang Indonesia.
Bukan itu sahaja, Nadiya turut memuat naik video pada Jumaat menunjukkan keterujaan Omar membaca berita kememangan Malaysia dari sebuah akhbar.