Adib ditarik keluar van EMRS
ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, menjawab 15 soalan berhubung kejadian menimpa dirinya, termasuk dipukul dengan peralatan dan ditarik keluar dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) ketika bertugas dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, 27 November tahun lalu.
Perkara itu didedahkan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, yang menyediakan dokumen mengandungi kesemua soalan itu untuk diajukan kepada Muhammad Adib ketika beliau melawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 Disember tahun lalu.
Saksi ke-18 inkues itu berkata, ketika itu pada 12.30 tengah hari, beliau melihat Muhammad Adib yang semakin baik, ceria dan lebih memberangsangkan, baru sahaja selesai menjalankan rawatan fisioterapi.
“Selepas mendapat kebenaran keluarga Muhammad Adib dan pihak hospital, saya bersama dengan pegawai bomba Shafik bertemu dengannya dan kemudiannya bertanya soalan-soalan itu selain ada dua jururawat,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues bagi menentukan penyebab kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
Menurut saksi itu, Muhammad Adib boleh membaca kesemua soalan dan bagi disedikan petak jawapan untuk memudahkan Muhammmad Adib membuat penandaan menggunakan pen selain jururawat menyediakan papan putih untuk menulis.
“Adib memegang dokumen yang mengandungi 15 soalan itu menggunakan tangan kiri disebabkan dirinya memang kidal serta dia sedang bersandar di katil hospital.
“Walaupun dia (Muhammad Adib) boleh membaca sendiri, saya tetap membacakan semula soalan itu kepadanya untuk dia menjawabnya,” katanya.
Berikut 15 soalan ditanyakan oleh Syed Sharil Anuar dan jawapan diberikan Muhammad Adib :
Soalan 1: Adakah perusuh cuba buka pintu kenderaan masa kenderaan berundur?
Jawapan : Ya
Soalan 2 : Adakah Adib cuba halang dan tahan pintu daripada terbuka?
Jawapan : Ya
Soalan 3 : Adakah mereka berjaya membuka pintu EMRS?
Jawapan : Ya
Soalan 4 : Apakah perasaan Adib ketika mereka cuba buka pintu kenderaan?
(Ada beberapa pilihan jawapan iaitu takut, cemas, tertekan dan panik)
Jawapan : Tertekan
Soalan 5 : Adakah Adib ditarik keluar dari kenderaan EMRS?
Jawapan : Ya
Soalan 6 : Jika ditarik, adakah mereka tarik Adib bahagian mana? Jawapan : Bahu
Soalan 7 : Apakah Adib terjatuh selepas ditarik?
Jawapan : Tidak ingat
Soalan 8: Adakah Adib terjatuh semasa ditarik?
Jawapan : Tidak ingat
Soalan 9 : Semasa Adib dipukul, adakah sedar atau tidak?
Jawapan : Tidak ingat
Soalan 10 : Adakah mereka memukul dengan peralatan?
Jawapan : Ya
Soalan 11 : Jika gunakan peralatan, adakah Adib nampak peralatannya?
Jawapan : Tidak
Soalan 12 : Peralatan apakah yang digunakan semasa dipukul? Kayu, batu, besi atau lain-lain peralatan?
Jawapan : Lain-lain peralatan.
Soalan 13 : Adakah Adib sedar semula di lokasi atau hospital?
Jawapan : Hospital
Soalan 14 : Adakah Adib terasa terancam ketika berada dalam situasi itu?
Jawapan : Ya
Soalan 15 : Adakah Adib cuba bertindak pertahankan diri ketika itu?
Jawapan : Tidak ingat
Menurut saksi sama, sesi itu berlangsung selama 20-25 minit dan beliau kemudiannya beredar selain turut memaklumkan akan menyimpan dokumen itu, namun Muhammad Adib boleh menceritakan kepada pihak sepatutnya, jika dia kembali pulih.
Sementara itu, ketika ditanya peguam Syazlin Mansoor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung tujuan dia menyediakan soalan itu, Syed Sharil berkata, beliau sendiri mahu mengetahui perkara sebenar yang terjadi kepada Muhammad Adib selepas spekulasi timbul mengenai anggota bomba itu dilanggar jentera bomba.
Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.
Prosiding inkues bersambung esok