Translate

18 September 2018

Penyanyi popular Indonesia Muhammad Tulus, mengadakan konsert pertamanya di negara ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur malam 18 September





Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:40 AM
HARIAN METRO


Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my
Penyanyi popular Indonesia Muhammad Tulus, 31, bakal mengadakan konsert pertamanya di negara ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Ditanya mengenai persiapannya untuk konsert yang akan berlangsung pada 18 September depan itu, Tulus berkata, dia menghabiskan masa antara dua ke tiga jam sehari bagi sesi latihan di studio.
“Rutin seharian saya adalah minum air kosong dan mendapatkan tidur yang cukup. Apatah lagi saya akan menyanyikan hampir 15 lagu dalam tempoh 90 minit.
“Ikutkan perancangan, saya ingin ke Kuala Lumpur lebih awal tetapi banyak lagi urusan perlu diselesaikan di Indonesia,” katanya kepada RAP.
Tulus berkata, dia mahu datang lebih awal kerana mahu mengambil kesempatan bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur sebelum konsert bermula dan melawat tempat bersejarah seperti Melaka selepas konsert.
Apatah lagi, dia baru dua kali melancong ke negara ini dan belum sempat melihat keindahan seni bina serta merasai kepelbagaian budaya di sini.
“Kalau melancong ke tempat orang, saya suka melihat bangunan tradisional dan aktiviti masyarakat setempat,” katanya.
Penyanyi berkelulusan seni arkitek yang baru muncul dengan album ketiga berjudul Monokrom pada Jun lalu berkata, untuk konsert ini dia mahu membawa lagu daripada ketiga-tiga album.
Malah, dia juga merancang menyelitkan single terbaru berjudul Labirin yang baru dilancarkan Ogos lalu sebagai melengkapkan rendisi lagu yang bakal dipersembahkan nanti.
“Untuk kelainan pada konsert ini, saya akan bawa lagu daripada tiga album dan mudah-mudahan diterima peminat. Dari segi susunan muzik pula, saya bersama pemuzik akan membawa lagu sedekat mungkin dengan susulan dari dalam album,” katanya.
Diberitahu mengenai sambutan menggalakkan terhadap penjualan tiket konsert itu, Tulus terkejut malah bersyukur kerana diterima oleh peminat Malaysia.
Difahamkan, 85 peratus daripada 1,400 tiket sudah dijual setakat ini. Hanya tiket berharga RM695 dan RM360 yang masih berbaki manakala tiket kategori Platinum dan Gold sudah habis dijual.
“Terima kasih kepada semua atas apresiasi ini dan tidak menjangka akan mendapat sambutan sebegini hebat. Saya tidak berapa gusar kerana dari segi bahasa mungkin tiada masalah.
“Cuma tidak sabar bertemu peminat sehinggakan saya tidak lena tidur memikirkannya,” katanya.
Tulus berkata , dia ingin bekerjasama dengan penyanyi legenda, Datuk Sheila Majid dan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana sering mengikuti perkembangan kerjaya seni mereka sejak dulu.
Lebih menaikkan semangatnya, dia berkesempatan bertemu Sheila sempena majlis perkahwinan sahabat mereka di Bandung, minggu lalu.
Selain bergambar bersama, mereka juga sempat bertukar pandangan dan perancangan untuk masa depan.
“Saya tidak berapa mengenali artis baru di Malaysia dan pasti ramai antara mereka sangat berbakat. Harapan saya dapat lebih mengenali mereka jika saya sering ke sana.
“Mudah-mudahan dengan kerap ke Malaysia, sambutan daripada peminat serta rakyat Malaysia akan lebih positif,” katanya.
Jawapan itu susulan dia menjadi antara artis yang mendapat lebih satu juta pengikut dan langganan di laman Spotify, baru-baru ini.
Tanpa berselindung, penyanyi keturunan Minangkabau ini pernah dianggap sebagai seorang pemalu dan mempunyai perasaan rendah diri. Namun, muzik jaz dianggap laluan mudah untuk dia menghilangkan perasaan itu.
“Dalam kehidupan seharian, saya sedikit pemalu tetapi muzik adalah ‘escapism’ buat saya,” katanya.
Tulus yang baru saja menyambut ulang tahun ke-31 pada 20 Ogos lalu berharap akan lebih konsisten untuk berkarya dalam menghasilkan karya yang mampu menawan hati ramai.
Selepas konsert di Istana Budaya, Tulus akan ke Australia pada 19 September bagi menjayakan persembahan di sana pula.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED