Translate

01 September 2018

Hari Bila 70 Tentera Malaysia Bantu Menyelamatkan 70 orang tentera elite Ameria Syarikat yang terkepung di Mogadishu, Somalia

Image result for malaysia black hawk down


Ada jasa Malaysia di sebalik kisah ‘Black Hawk Down’, kata pesara
By Khairil Ashraf
-September 1, 2018
FREE MALAYSIA TODAY

Share
Brigadier Jeneral (B) Abdul Latif Ahmad menunjukkan artikel yang pernah keluar di surat khabar.

KUALA LUMPUR: Pada 2001, sebuah syarikat produksi dari Hollywood menerbitkan sebuah filem berjudul “Black Hawk Down” arahan pengarah ternama Ridley Scott.

Filem tersebut berdasarkan kisah benar mengenai operasi tentera Amerika Syarikat (AS) pada 3 Oktober 1993 bagi menangkap dan menawan ketua pemisah di Mogadishu, Somalia.

Bagaimanapun, dalam filem itu tidak dipaparkan sumbangan tentera Malaysia yang turut membantu menyelamatkan 70 orang tentera AS yang terkepung.

Filem yang memenangi 2 anugerah Academy Awards itu sebaliknya hanya memaparkan Pakistan menggunakan kereta perisai dalam melakukan penyelamatan dan menyebut “get the Malay”.

Menceritakan penglibatan Malaysia dalam melakukan tugas menyelamat itu, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Ahmad berkata, ia bermula apabila beliau mengetuai kontinjen Malaysia yang dianggarkan seramai 870 orang di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pasukan pengaman di Mogadishu, Somalia.

Abdul Latif, 76, berkata pada waktu itu Somalia dilanda perang saudara dan 30 negara di bawah pasukan pengaman datang ke negara terbabit bagi membantu kerajaan sementara.


Katanya, pasukan pengaman Malaysia turut membawa kereta perisai jenis Condor dan ditugaskan di bawah Pasukan Gerak Cepat kerana memiliki kereta perisai dan beliau mengetuai pasukan berkenaan.

“Negara lain tidak ada kereta perisai, kita sahaja yang ada dan yang kita bawa masuk 32 kereta perisai untuk pergi bertempur.

“Operasi kita melakukan penggeledahan senjata yang disorokkan pasukan yang nak melawan kerajaan sementara,” kata anak kelahiran Kampung Baru itu ketika ditemu bual FMT.Filem ‘Black Hawk Down’ tidak menceritakan peranan Malaysia dalam misi menyelamat.

Katanya, pada 3 Oktober 1993, pasukan AS melakukan operasi menangkap ketua pemisah berkenaan dan misi berjaya.

Bagaimanapun, helikopter Black Hawk yang ditugaskan untuk mengambil 70 orang tentera berkenaan ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah menggunakan roket.

“Helikopter ini jatuh dan apabila jatuh ia dipanggil Black Hawk Down. Kemudiannya 1 lagi helikopter datang dan turut ditembak menjadikan 2 helikopter jatuh di 2 tempat berasingan di Mogadishu,” katanya.

Katanya, selepas itu pasukan tentera AS yang lain turut datang menyelamatkan, tetapi gagal.

“Amerika gagal sebanyak 4 kali untuk menyelamatkan orang mereka sendiri yang terkepung,” katanya.

Abdul Latif berkata, mereka mungkin gagal untuk kali ke-4 kali bagi menyelamatkan anggota mereka kerana tidak mempunyai kereta perisai dan menggunakan kereta biasa seperti Humvee.

Disebabkan itu, katanya, Malaysia dipanggil bersama Pakistan yang mempunyai kereta kebal untuk melakukan tugas menyelamat.

“Pasukan tempur daripada AS, dia naik kereta perisai kita, dia penuhkan kereta perisai dan kereta lain ikut belakang kereta perisai,” katanya sambil menambah operasi berkenaan dimulakan pada 12.00 tengah malam.

Katanya, semasa operasi itu, kereta kebal Pakistan berada di depan dan diikuti kereta perisai Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Latif mendakwa, semasa mahu memasuki kawasan operasi untuk melakukan tugas menyelamat, mereka ditembak oleh musuh menyebabkan pasukan Pakistan tidak mahu “bergerak”.

“Apabila ditembak, pasukan Pakistan tidak mahu bergerak jadi kita tanya kenapa dia tidak mahu bergerak, dia kata tidak ada fasiliti untuk berjalan malam,” dakwanya sambil menambah tugas menyelamat itu kemudiannya hanya melibatkan Malaysia dan AS.

Beliau mendakwa, mereka berperang selama 6 jam melawan pemisah Somalia dan beratus ribu peluru digunakan bagi mempertahankan diri dan melakukan tugas penyelamatan.

“Perang ini juga satu sejarah angkatan tentera sebagai pasukan pengaman yang berperang 6 jam berturut-turut dalam tempoh yang agak lama selepas perang Jepun dahulu,” katanya.

Abdul Latif berkata, pada 4 Oktober, pasukan yang terlibat akhirnya dapat menyelamatkan pasukan AS.

“Dan dapat keluar dari kawasan tembakan serta kita juga dapat masuk kawasan sahabat di sebuah stadium di Pakistan,” katanya.

Beliau menambah, dalam pertempuran itu seorang anggotanya terkorban, 10 orang tercedera manakala di pihak AS, 18 orang terkorban dan 70 orang tercedera.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED