KUALA LUMPUR 11 Mei – Penyanyi dari Singapura, Awi Rafael semakin stabil selepas terbabit dalam satu kemalangan di Damansara, Petaling Jaya, dekat sini kira-kira pukul 10 malam semalam.
Jurucakap syarikat rakaman Warner Music Malaysia, Sabrina Azman ketika dihubungi memberitahu, Awi yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya dilanggar sebuah kereta dari arah bertentangan.
“Difahamkan, pemandu kereta itu yang mahu membelok ke kanan untuk masuk ke simpang tetapi tidak perasan kehadiran Awi dari arah hadapan. Maka, berlaku pelanggaran yang mengakibatkan Awi terpelanting dan bergolek ke atas bonet belakang kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya.
“Akibatnya, Awi mengalami kecederaan di bahagian bawah lutut kaki kanannya yang berlubang serta tapak kaki kirinya koyak. Bagaimanapun Awi bernasib baik kerana pemandu kereta itu menghantarnya ke Pusat Perubatan Tropicana berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” cerita Sabrina.
- UTUSAN ONLINE