Translate

29 December 2024

Presiden FAM: Tokoh korporat Syaf Ismail sedia jadi calon 'wild card'



Presiden FAM: Tokoh korporat Syaf Ismail sedia jadi calon 'wild card'

Bernama

29/12/2024


Senarai calon yang akan bertanding dalam FAM bagi penggal 2025/29 pada 15 Feb depan akan diketahui hujung Januari ini.


KUALA LUMPUR: Tatkala beberapa nama besar disebut-sebut untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seorang tokoh korporat turut menyuarakan hasrat untuk bersaing dalam kongres pemilihan pada 15 Feb depan.

Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM Sayf Ismail, 45, berkata beliau sedia bertanding sebagai pilihan 'wild card' dan menawarkan kepakarannya bagi menerajui badan induk bola sepak negara itu dengan perspektif berbeza sebagai 'orang luar' dalam sukan berkenaan.

"Pimpinan FAM tidak semestinya daripada 'orang dalam', boleh datang dari sektor berbeza, maknanya ada pengalaman berbeza seperti korporat.

"Pimpinan sekarang kebanyakan bukan dari korporat, oleh itu tadbir urus dan tatakelola kurang. Pemegang taruh FAM ramai, maknanya walaupun ahli gabungan yang memilih, tapi pemegang taruh adalah dari seluruh negara, jadi ia perlu diatur seperti syarikat awam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sayf yang juga merupakan pendidik di Universiti Malaya sebagai Profesor Adjung berkata, sekiranya terpilih sebagai calon, beliau beriltizam untuk meningkatkan daya saing bola sepak negara di Asia dan dunia melalui manifesto yang disediakannya.

Antara iltizamnya adalah memastikan tadbir urus yang telus, reka semula piramid bola sepak negara, memastikan kebolehsaingan Liga Malaysia, menyokong revolusi skuad Harimau Malaya dan memenangi semula kepercayaan pemegang taruh.

Beliau yang bertugas sebagai pelatih korporat itu berkata akan menggunakan sebaiknya pengalaman berkhidmat di FAM sekiranya diberi peluang menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Kongres pemilihan bakal diadakan pada Februari untuk memilih barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang baharu apabila penggal 2021-2025 bakal berakhir tahun depan, dengan Presidennya Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan tidak akan pertahankan jawatannya.

Sebelum ini media melaporkan antara nama besar yang akan dijangka merebut kerusi panas itu adalah Naib Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan bekas Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah.

Senarai calon yang akan bertanding dalam FAM bagi penggal 2025/29 pada 15 Feb depan akan diketahui hujung Januari ini.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED