Istiadat Pertabalan Agong ke-17 punyai sentuhan peribadi Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah
Bernama
13/07/2024
KUALA LUMPUR: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini mempunyai keistimewaan tersendiri lebih-lebih lagi persiapan yang diatur rapi turut mendapat sentuhan peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, banyak perkara berkaitan persiapan dan peraturan istiadat itu dipantau Seri Paduka Baginda berdua yang mahu segala-galanya berlangsung dengan sempurna untuk menonjolkan keunikan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia.
"Saya ambil contoh sekecil-kecil persiapan kad jemputan, Seri Paduka Baginda berdua memberi sedikit kelainan kad itu warnanya biru Tiffany iaitu warna kegemaran Seri Paduka Baginda.
"Cenderamata pertabalan, pingat pertabalan semuanya dilihat dengan begitu terperinci oleh Seri Paduka Baginda.
Boleh saya katakan Seri Paduka Baginda begitu cakna, sangat mengetahui segala perkara," katanya pada program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam tadi.
Turut serta dalam program itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.
Azuan Effendy berkata, beliau percaya Sultan Ibrahim juga akan menampilkan keunikan tersendiri pada istiadat yang bakal berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara itu antaranya semasa upacara mempersembahkan keris kerajaan iaitu Keris Panjang Diraja yang melambangkan pemusatan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Menelusuri sejarah istiadat pertabalan sebelum ini katanya, setiap Yang di-Pertuan Agong mempunyai cara tersendiri apabila menerima keris berkenaan.
"Ada Yang di-Pertuan Agong yang menjunjung keris itu, ada juga yang membuka sarung keris dan mengucupnya. Ini kita tidak tahu apa yang akan dilaksanakan dan saya percaya kita akan dapat saksikan nanti pada 20 Julai ketika istiadat pertabalan itu berlangsung," katanya.
Selain itu, beliau berkata istiadat penuh bersejarah itu juga akan diserikan dengan keberangkatan dua Ketua Negara luar iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Menyifatkan persiapan istiadat itu seumpama sebuah keluarga ketika mengadakan kenduri kahwin, beliau berkata semua pihak terlibat bertungkus lumus memastikan segalanya berjalan sempurna bagi menyerlahkan keunikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dilakukan secara bergilir setiap lima tahun.
Mengenai persediaan peribadinya yang juga Ketua Adat Istiadat di Istana Negara, Azuan Effendy berkata sesi raptai kerap diadakan memandangkan beliau menggalas tanggungjawab berat mempersembahkan beberapa bait perkataan tanpa teks.
"Apabila berada di tengah-tengah (Balairung Seri) dalam kalangan Raja-Raja Melayu yang berangkat hadir dan ketua negara asing juga berangkat, saya sentiasa berdoa kerana kekuatan dalaman itu juga penting untuk melancarkan istiadat.
"Saya tidak boleh buat apa-apa kesilapan, mesti pastikan segala-galanya teratur dan bukan hanya saya, ia kerja berpasukan," katanya.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas. – BERNAMA