Tiga ADUN angkat sumpah jawatan ahli jemaah menteri Sabah
Bernama
Januari 11, 2023 10:59 MYT
Tiga ADUN angkat sumpah jawatan ahli jemaah menteri Sabah
Terdahulu hari ini, beberapa kenderaan mewah dipercayai membawa ADUN mula memasuki perkarangan istana seawal jam 8.30 pagi. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri baharu Kerajaan Sabah di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Ahli Jemaah Menteri baharu Kerajaan Sabah mengangkat sumpah adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga ADUN Api-Api Datuk Christina Liew, Phoong Jin Zhe daripada DAP (Luyang), dan James Ratib daripada Barisan Nasional (Sugut).
Ketiga-tiga ADUN berkenaan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan kemudian menandatangani surat sumpah jawatan masing-masing disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Datuk Ismail Brahim.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri ll Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun juga Menteri Kewangan II negeri.
BACA: Istiadat angkat sumpah kabinet baharu Sabah?
Pada 6 Jan lepas, Hajiji mengesahkan bahawa barisan Ahli Kabinet Kerajaan Sabah akan dirombak.
-- BERNAMA
Datuk Christina Liew, Datuk James Ratib dan Phoong Jin Zhe angkat sumpah Ahli Jemaah Menteri baharu Kerajaan Negeri Sabah
— BERNAMA Radio🇲🇾 (@bernamaradio) January 11, 2023
📹 BERNAMA TV pic.twitter.com/xiwmubt5lW