60,000 saksikan AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Konsert mega penyanyi dan komposer legenda dari India, AR Rahman iaitu Konsert AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlangsung dibanjiri 60,000 peminat, malam ini.
Ia sekali gus membuktikan kemasyhuran penyanyi legenda itu, lebih lagi, apabila laluan trafik di perkarangan Bukit Jalil juga sesak dengan kenderaan berpusu-pusu masuk ke kawasan Stadium Bukit Jalil.
Ternyata, ramai yang tidak melepaskan peluang mengubati kerinduan terhadap AR Rahman menerusi konsert anjuran DMY Creation Sdn Bhd, tak kira peminat berbangsa India mahupun Melayu.
Terdahulu, BH Online melaporkan kira-kira 50,000 tiket konsert itu habis dijual oleh pihak penganjur tiga hari lalu.AR Rahman membuka tirai konsert pada jam 8.30 malam dengan lagu popularnya, Jai Ho dan Muqabala.
Tidak dapat disangkal, konsert AR Rahman berdurasi lebih kurang tiga jam tidak ubah seperti konsert bertaraf antarabangsa apabila peminat dapat menonton persembahan menerusi paparan 14 skrin yang disediakan.
Lebih istimewa, konsert itu turut menampilkan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza berduet bersama AR Rahman menerusi lagu Tamil klasik berjudul Munbe Vaa.
Stadium Bukit Jalil bergema dengan jeritan peminat sebaik sahaja Siti tampil atas pentas.
Siti juga sempat meluahkan perasaan gembiranya dapat berkongsi pentas dengan AR Rahman.
"Saya berbangga dapat menyanyi bersama penyanyi legenda. Ia seperti mimpi menjadi kenyataan," katanya.
Turut memeriahkan konsert, penyanyi popular dari India, Hariharan.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain itu, antara selebriti tempatan yang dilihat hadir menonton termasuklah Harith Iskandar dan Fatin Afeefa serta suami.