Hoki Piala Dunia: Speedy Tigers terlepas peluang tamatkan saingan kelompok sepuluh terbaik
Bernama
Januari 26, 2023
Hoki Piala Dunia: Speedy Tigers terlepas peluang tamatkan saingan kelompok sepuluh terbaik
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan skuad hoki negara kini perlu bermain dalam aksi penentuan tempat ke-13 hingga ke-16, Sabtu ini. - Foto Twitter @hockeymalaysia
KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Speedy Tigers untuk menamatkan saingan di tempat kesembilan saingan Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 lebur selepas tumpas kepada Afrika Selatan 3-6 pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, hari ini.
Pada perlawanan di Stadium Birsa Munda, Rourkela, India, skuad didikan A. Arul Selvaraj tampak kurang menyengat seawal suku pertama, sehingga membenarkan pihak lawan terlebih dahulu di hadapan hasil jaringan padang Bradley Sherwood pada minit kelapan.
Memasuki suku kedua perlawanan, skuad hoki negara kian tersentak apabila dua lagi jaringan dihasilkan Afrika Selatan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Guy Morgan pada minit ke-16 dan gol padang Nqobile Ntuli, selang sembilan minit kemudian.
Pemain pertahanan Muhammad Razie Abd Rahim kembali menyuntik semangat buat Speedy Tigers, selepas menyumbang gol sulung negara menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-34.
Afrika Selatan yang jelas menguasai permainan bagaimanapun kekal membuat skuad negara terpaku apabila dua lagi jaringan dihasilkan pada suku ketiga perlawanan, menerusi jaringan padang Keenan Horne pada minit ke-42 dan penalti strok Mustaphaa Cassiem seminit kemudian.
Cuba untuk mengurangkan perbezaan jaringan, Muhammad Razie sekali lagi membantu negara apabila menjaringkan gol kedua pasukan, selepas menyempurnakan penalti strok sebelum wisel penamat suku ketiga dibunyikan.
Di suku keempat Afrika Selatan membuktikan mereka sememangnya layak menang apabila meledak gol keenam pasukan sekali gus jaringan padang kedua Sherwood, pada minit ke-56.
Malaysia memperolehi gol ketiga selang seminit kemudian menerusi jaringan padang Muhammad Firhan Ashari, namun ternyata tidak mampu menyaingi kemampuan Afrika Selatan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Arul Selvaraj berkata beliau dan pasukannya cukup kecewa dengan keputusan ini, disebabkan kehilangan fokus atau kemampuan, pada suku pertama dan kedua.
"Kita cuba bangkit pada suku ketiga dan keempat, namun ternyata mereka bermain dengan lebih baik dan meletakkan kemahuan tinggi untuk menang," katanya menerusi perkongsian video oleh Konfederasi Hoki Malaysia kepada media hari ini.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan skuad hoki negara kini perlu bermain dalam aksi penentuan tempat ke-13 hingga ke-16, Sabtu ini.
Menanti skuad negara bagi aksi itu antara pasukan India atau Jepun, yang turut bersaing pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, hari ini.
-- BERNAMA