Bernama
Januari 30, 2023
Maybank perkenal ciri nyahaktif segera, tangani penipuan dalam talian
Kemudahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Maybank bagi meningkatkan keselamatan serta menangani penipuan dalam talian.
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) memperkenalkan ciri keselamatan 'Kill Switch' yang membolehkan pelanggan menyahaktif akses Maybank2u dan aplikasi MAE secara segera dengan satu klik mudah jika berasakan mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Kemudahan menerusi kedua-dua platform itu yang diperkenalkan pada 28 Januari 2023, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank tersebut bagi meningkatkan keselamatan serta menangani penipuan dalam talian.
Dalam kenyataannya hari ini, Maybank berkata ciri 'Kill Switch' itu boleh diaktifkan melalui Maybank2u atau aplikasi MAE dan setelah diaktifkan, pelanggan akan didaftar keluar secara automatik daripada semua sesi dalam talian yang aktif di platform perbankan berkenaan.
"Atas faktor keselamatan, ketika tempoh penyahaktifan itu pelanggan tidak dapat daftar masuk ke dalam Maybank2u dan pengaktifan semula hanya boleh dilakukan selepas pengesahan yang berjaya melalui cawangan atau Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank.
"Ini juga akan menghalang penipu atau 'scammer' atau mana-mana pihak yang tidak dibenarkan daripada mengakses Maybank2u atau aplikasi MAE melakukan aliran keluar dana selanjutnya," katanya.
Maybank berkata, pelanggan masih boleh mengeluarkan wang tunai daripada mesin juruwang automatik (ATM) dan membuat pembelian menggunakan kad debit atau kredit Maybank mereka.
Bagaimanapun, pengeluaran tunai tanpa kad dan tanpa sentuh tidak dibenarkan pada masa terbabit kerana memerlukan pelanggan untuk daftar masuk ke dalam Maybank2u.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Datuk John Chong berkata Maybank sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan sekuriti pelanggannya bagi perbankan dalam talian dan ini terbukti dengan peningkatan serta panambahbaikan yang kerap pada sistemnya.
"Menerusi pengenalan ciri 'Kill Switch' itu, pelanggan boleh mengambil alih dan melindungi dana mereka secara proaktif daripada sebarang kejadian tidak diingini serta mengurangkan jumlah kerugian sebelum siasatan bank dan pihak berkuasa berkaitan selesai," katanya.
Beliau berkata memandangkan bilangan penipuan dalam talian dilihat kian meningkat, orang ramai perlu mengakui bahawa pencegahan penipuan adalah tanggungjawab semua dan bersama untuk membasminya.
Bank katanya, hanya boleh berusaha untuk memperkenalkan pelbagai langkah keselamatan lanjutan untuk mencegah dan mengurangkan penipuan dalam talian, namun terpulang kepada orang ramai dan pelanggan untuk memainkan peranan dalam melindungi diri mereka secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan peribadi mereka disimpan selamat dan tidak dikongsi dengan pihak ketiga.
"Amalan mudah terbaik adalah dengan mengingatkan serta mendidik ahli keluarga dan rakan mengenai kepentingan berwaspada dan tidak mengakses mana-mana pautan tidak diketahui.
"Jika sesuatu kelihatan terlalu baik (menarik) serta tidak munasabah, maka kemungkinan besar ianya satu penipuan," katanya.
Dalam pada itu, Maybank berkata, langkah terbaharu itu dilakukan melalui penambahbaikan ciri keselamatan sedia ada dalam Maybank2u dan lebih banyak langkah lain akan dilancarkan bagi membantu pelanggan meminimumkan kerugian mereka.
"Ini dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif, termasuk melancarkan talian hotline khusus untuk pelanggan melaporkan aktiviti penipuan, pemindahan daripada SMS TAC ke Secure2u (S2U) dalam MAE dan mengehadkan penggunaan S2U kepada hanya satu peranti.
"Turut diperkenalkan adalah tempoh pengaktifan 12 jam untuk pendaftaran S2U baharu di MAE yang membantu menghalang kelulusan transaksi tanpa kebenaran," katanya.
Maybank pertama kali memperkenalkan S2U pada April 2017 sebagai kaedah pengesahan lebih selamat.
Malah, ia akan menguatkuasakan sepenuhnya kemudahan itu untuk diluluskan pada aplikasi MAE bagi semua aktiviti atau transaksi dalam talian berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan pada maklumat peribadi dan tetapan akaun menjelang Jun 2023.
-- BERNAMA