Pertemuan empat mata semalam antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah Datuk Bung Moktar Radin meredakan kemelut politik Sabah.
Hasil pertemuan itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong penuh cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang membabitkan semua parti politik negeri ini.
Katanya, beliau yakin Kerajaan Perpaduan ini mampu meredakan kembali suhu politik dan seterusnya menstabilkan semula politik Sabah ketika ini.
"Saya juga berharap agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima saranan Perdana Menteri dengan hati terbuka demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
\
Dalam pada itu, Bung Moktar turut berkata, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat hadir dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, berikutan perlu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau bersama bersama ADUN UMNO Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam sidang khas terbabit.