Translate

04 January 2022

Wanita didakwa menipu untuk terima bantuan banjir




Wanita didakwa menipu untuk terima bantuan banjir

Bernama

Januari 4, 2022 09:11 MYT


Seorang wanita tergamak menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini. -

KUANTAN: Seorang wanita tergamak menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Dis lepas.

"Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

"Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata seorang ahli NGO Itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.


Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED