Translate

01 October 2021

Kejadian 55 Kes Keracunan Metanol di Malaysia mengakibatkan 33 kematian - Kenyataan DG Kesihatan

 




Kenyataan Akhbar KPK 1 Oktober 2021 – Kejadian Keracunan Metanol di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa di dalam tempoh 9 sehingga 30 September 2021, Bahagian Kawalan Penyakit KKM telah menerima sebanyak 55 notifikasi kes keracunan metanol dari tujuh (7) buah negeri iaitu Selangor (25 kes), Perak (13 kes), Pahang (5 kes), Pulau Pinang (6 kes), WP Kuala Lumpur (4 kes), Johor (1 kes) dan Negeri Sembilan (1 kes). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 kes (47%) adalah terdiri daripada warganegara Malaysia manakala selebihnya adalah bukan warganegara.

Secara kumulatif sejumlah 33 kes kematian telah dilaporkan menjadikan kadar serangan (Case Fatality Rate: CFR) sebanyak 60%. Daripada jumlah kematian yang dilaporkan, 18 kes (55%) melibatkan warganegara Malaysia manakala 15 kes (45%) adalah bukan warganegara iaitu tujuh (7) warganegara Myanmar, lima (5) warganegara India dan tiga (3) warganegara Nepal.

Sebanyak tujuh (7) kes telah discaj dari hospital manakala terdapat 15 kes lagi yang masih menerima rawatan iaitu 12 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga (3) kes tidak kritikal yang dirawat di wad.

Keracunan metanol berlaku apabila minuman beralkohol yang diminum mengandungi metanol dalam dos yang toksik. Metanol boleh hadir dalam kuantiti yang toksik akibat proses distilasi minuman beralkohol yang tidak sempurna atau metanol dicampur ke dalam minuman beralkohol sebelum diminum. Keracunan metanol juga biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilang secara tidak sah, kerana kebiasaanya metanol dicampur ke dalam minuman tersebut sebagai pengganti etanol. Ini adalah kerana harga metanol yang secara relatif lebih murah berbanding etanol.

Gejala keracunan metanol adalah seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala dan kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol. Pihak KKM ingin menasihatkan kepada orang awam untuk segera membawa mana-mana individu yang mempunyai gejala keracunan metanol ke mana-mana klinik atau hospital yang terdekat bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

KKM ingin menasihati pengguna untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol.  Pengguna hendaklah memastikan minuman yang dibeli mempunyai label yang mengandungi maklumat mengenai pengeluar, pengedar atau pengimport dan juga ramuan minuman beralkohol tersebut. Pengguna juga perlu mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri (home-brewed) dan yang dijual dengan harga yang murah atau yang meragukan. Sebaik-baiknya, masyarakat adalah disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat tanpa alkohol.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak KKM bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandang serius akan kejadian ini. Agensi yang berkaitan akan sentiasa memantau dan memastikan tiada aktiviti import/eksport barangan kawalan atau penjualan atau pengedaran minuman beralkohol yang dicemari dengan metanol dalam usaha mengawal penularan kejadian keracunan ini, selain bagi memastikan juga premis jualan tersebut mempunyai lesen perniagaan yang sah. Pihak PDRM sentiasa dari semasa ke semasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis yang menjalankan aktiviti penjualan minuman beralkohol yang dihasilkan sendiri.

Sebarang aduan atau pelaporan berkenaan aktiviti pembuatan, penjualan atau pengedaran produk minuman beralkohol secara haram atau tidak berkastam (belum lulus kastam) boleh dilaporkan kepada talian Aduan Penyeludupan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di talian 1800-88-8855 atau boleh diadukan kepada Polis Diraja Malaysia di talian 03-2266 3333/3451/3444.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 OKTOBER 2021

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED