Datuk Dr Asmayani Khalib kini Timbalan KP Kesihatan (Perubatan)
Bernama
Ogos 17, 2021
Pelantikan Dr Asmayani adalah bagi menggantikan Datuk Dr Norhizan Ismail yang bersara wajib pada hari ini. - Foto jknpenang.moh.gov.my
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Asmayani Khalib dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan pelantikan Dr Asmayani adalah bagi menggantikan Datuk Dr Norhizan Ismail yang bersara wajib pada hari ini.
"Selamat menjalankan tugas dan amanah. Semoga kecemerlangan Program Perubatan KKM dapat diteruskan," katanya yang turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan itu.
Sebelum bertugas sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sejak 2019, Dr Asmayani juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Pengarah Hospital Kulim dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perkembangan Perubatan KKM.
Beliau juga pernah bertugas di beberapa hospital dan fasiliti kesihatan sepanjang perkhidmatannya iaitu Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Hospital Pulau Pinang, Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Hospital Kajang, Selangor, Hospital Taiping, Perak dan Hospital Jengka, Pahang.
-- BERNAMA