Mahkamah menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. - Astro AWANI |
Guru sekolah agama didakwa pukul pelajar OKU
Astro Awani
27/8/2021
AYER KEROH: Seorang guru agama di sebuah madrasah, di Telok Mas, Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Haslam dituduh memukul bahagian badan, tangan dan kaki Muhammad Sawfi Razali, 21, menggunakan sebatang penyapu sehingga mendatangkan kecederaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Bahagia, Pulau Gadong, Melaka kira-kira jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 326 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Siva Shangari, mencadangkan jaminan RM8,000.
Tertuduh yang diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
Hakim Nariman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.