Translate

15 August 2021

Kejadian ratusan ekor ikan ditemukan mati di Sungai Penchala dipercayai akibat pelepasan efluen mentah ke longkang oleh sebuah kilang




Pelepasan efluen oleh kilang disyaki punca ikan mati di Sungai Penchala
Bernama
Ogos 15, 2021 

LUAS menerusi kenyataan memaklumkan ujian pH yang dilakukan di longkang tersebut merekodkan bacaan 10 dan pensampelan efluen turut dilaksanakan bagi analisa lanjut. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Kejadian ratusan ekor ikan ditemukan mati di Sungai Penchala, Seksyen 14, Petaling Jaya, dua hari lepas dipercayai akibat pelepasan efluen mentah ke longkang oleh sebuah kilang di Jalan Professor Koy Khee Kim, menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

LUAS menerusi kenyataan memaklumkan ujian pH yang dilakukan di longkang tersebut merekodkan bacaan 10 dan pensampelan efluen turut dilaksanakan bagi analisa lanjut.


Menurut LUAS, pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkaitan aduan orang awam mengenai kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di sungai itu, pada 12 Ogos dan sehubungan itu, JAS, Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti punca pencemaran.


"Siasatan berhampiran Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya menemukan bangkai-bangkai ikan hanyut dan pensampelan in-situ yang dijalankan oleh LUAS di dua lokasi hulu sungai mendapati kandungan oksigen terlarut (DO) adalah baik iaitu antara 3.2 miligram (mg)/l dan 4.33 mg/l, manakala kandungan ammonia adalah 2 mg/l," menurut kenyataan itu.

Menurut LUAS, siasatan seterusnya mendapati terdapat ratusan ekor bangkai ikan di beberapa kawasan yang dipercayai mati berpunca daripada pencemaran sungai yang berkemungkinan berlaku sebelum penemuan pada 12 Ogos.

"Bagaimanapun, pensampelan yang dijalankan di lokasi ketiga ini mendapati kandungan DO juga baik iaitu 3.68mg/l serta ammonia 2mg/l. Namun siasatan menemukan air berwarna keruh di kawasan tersebut mengalir memasuki ke Sungai Penchala dan pensampelan kandungan nilai pH aliran air tersebut mencatatkan bacaan pH 12," katanya.

LUAS memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan seterusnya ke Jalan Professor Koy Khee Kim dan mendapati keadaan longkang masih keruh dan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada premis kilang yang sedang beroperasi di kawasan tersebut pada jarak 165 meter ke Sungai Penchala sekali gus merekodkan ujian pH dengan bacaan 10.

Sementara itu, JPNS turut menjalankan pensampelan ikan dan air sungai di lokasi pencemaran bagi analisa serta forensik lanjut manakala SPAN menjalankan pemeriksaan di loji rawatan kumbahan (LRK) IWK berhampiran Sungai Penchala.

"Berdasarkan penemuan ini, LUAS akan mengambil tindakan lanjut di bawah Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta, jika sabit kesalahan," menurut LUAS sambil menyeru semua pihak supaya memaklumkan sebarang aktiviti disyaki berpotensi menyebabkan pencemaran agar siasatan dapat dilakukan.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED