Translate

27 August 2021

'Assalamualaikum'... respons KJ Kepada Pegawai Yang Menghalang Seorang Merakam Suntikan Vaksinnya dengan alasan Khairy bukan lagi menteri.

Sebelum ini ketika diberi tanggungjawab sebagai menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy memaklumkan orang awam dibenarkan merakam proses vaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV). - Gambar fail


'Assalamualaikum'... respons KJ curi perhatian susulan individu tidak dibenar rakam video di PPV

Astro Awani
27/8/2021

KUALA LUMPUR: Pelbagai ragam penerima vaksin dapat dilihat ketika mendapatkan suntikan dos di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Kebanyakan mereka gemar berkongsi pengalaman melalui media sosial dengan memuat naik aksi mencuit hati atau aneh ketika berada di PPV untuk memeriahkan suasana.

Ada yang memakai pakaian cantik seolah-olah mahu ke pertunjukan fesyen, ada juga mengenakan kostum adiwira, malah ada yang memakai topeng watak filem tertentu.

Gelagat mereka mendapat pelbagai reaksi membuatkan rakaman terbabit menjadi tular. Petugas di PPV juga biasanya tidak menghalang selepas bekas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, memberi kebenaran rakaman di PPV sebelum ini.

Bagaimanapun, pada Sabtu seorang seorang pengguna Twitter dikenali sebagai 'Healer' telah memuat naik video di akaun Twitternya yang memaparkan dia dipercayai tidak dibenarkan merakam proses vaksinasi dengan alasan Khairy bukan lagi menteri.

Dia terdahulu memuji sikap jururawat yang menyuntik vaksin kepadanya yang membenarkan rakaman video dibuat sebelum seorang pegawai lain menghalang.

"Punya la happening nurse tu layan siap bagi record . Datang sorang pegawai ni tutup camera alasan KJ dah letak jawatan...," katanya di Twitter.

Walaupun tindakan pegawai itu selaras arahan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini yang tidak membenarkan sebarang rakaman di premis kesihatan termasuk PPV, ramai netizen berpendapat tindakan sedemikian boleh dielakkan.

Hari ini, kisah itu memasuki episod baharu dan sekali lagi tular apabila Khairy yang diumumkan sebagai Menteri Kesihatan yang baharu, memberi respons terhadap insiden berkenaan.

Dalam nada 'berseloroh' Khairy menciap semula ciapan Healer itu dengan tulisan: "Assalamualaikum" yang seolah-olah menandakan beliau sudah kembali!

Sehingga jam 4.30 petang tadi, ciapan Khairy sudah dikongsi hampir 40,000 kali dengan lebih 1,800 komen dan 34,600 tanda suka.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet baharu, yang akan membantu beliau memacu negara dalam mengharungi badai pandemik global COVID-19 dan memandu pemulihan ekonomi bagi kesejahteraan rakyat di negara ini.

Khairy adalah antara yang diumumkan sebagai menteri dengan pertukaran portfolio daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kepada KKM.

Setakat ini, sejumlah 21,208.269 individu sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin dan 18,948,648 telah menerima dos vaksin pertama.

.Jumlah populasi dewasa yang telah divaksinas telah mencapai kadar 100 peratus di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor.

Sumber: Astro Awani

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED