Translate

08 July 2021

Pesakit COVID-19 Lembah Klang meningkat: KKM laksana 10 langkah responsif pantas

Langkah responsif dan pantas itu adalah bagi meningkatkan penerimaan dan merawat pesakit COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5. - Gambar fail/Astro AWANI

Pesakit COVID-19 Lembah Klang meningkat: KKM laksana 10 langkah responsif pantas

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dan sedang melaksanakan 10 langkah segera bagi meningkatkan lagi kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Bersepadu MAEPS 2.0.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata langkah responsif dan pantas itu adalah bagi meningkatkan penerima dan merawat pesakit COVID-19 khususnya kategori 4 dan 5 yang semakin meningkat.

"KKM berharap dengan pelaksanaan langkah ini dapat meningkatkan bagi kesiapsiagaan hospital KKM, hospital pengajar universiti, hospital ATM, hospital medan ATM dan PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19.

"Walau apapun langkah yang diambil, langkah pencegahan dan kawalan khususnya oleh setiap individu dalam masyarakat adalah penting bagi menghentikan penularan pandemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan situasi terkini, Dr Adham berkata, daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, sebanyak 154 katil dikhususkan untuk pesakit COVID-19 kategori 4 telahpun melepasi kapasiti penggunaan maksimum yang ditetapkan.

"Baki katil yang disediakan bagi pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan kategori 3 di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 juga hampir digunakan sepenuhnya.

"Berdasarkan data terkini, PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 menerima secara purata 800 orang pesakit COVID-19 dalam tempoh sehari dengan purata 200 pesakit merupakan pesakit COVID-19 yang berada dalam kategori 4," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata KKM mengharapkan agar semua pihak terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, terus berada di rumah dan sentiasa meningkatkan kepatuhan kepada amalan normal baharu.

10 langkah responsif pantas tersebut adalah:

1. Menambah segera katil ICU di hospital KKM dan hospital pengajar universiti, contohnya menambah sebanyak 20 unit katil ICU tambahan di Hospital Ampang serta 8 unit katil ICU dan 45 unit katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia mulai 7 Julai 2021 bagi membolehkan pesakit COVID19 kategori 4 dan 5 dipindahkan segera dari PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit;

2. Melengkapkan wad di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor dengan sejumlah 60 katil dan peralatan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital tersebut menerima pesakit khususnya pesakit COVID-19;

3. Menubuhkan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di HTAR Klang, Selangor;

4. Memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur juga menerima dan merawat pesakit COVID-19 bagi Kategori 3 dan Kategori 4;

5. Melaksanakan segera penugasan semula (mobilisasi sementara) lebih 110 orang petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 orang pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Negeri Kedah, Perak dan Terengganu serta seramai 43 pegawai perubatan dari hospital di Lembah Klang ke PKRC MAEPS berkuat kuasa mulai 8 Julai 2021 untuk tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyokong PRKC Bersepadu MAEPS 2.0 bagi merawat pesakit COVID-19. Lebih ramai petugas dari kawasan-kawasan lain yang lebih terkawal keadaannya, sedang giat diusahakan untuk ditempatkan di Lembah Klang;

6. Menambah segera sebanyak 1,550 silinder oksigen bagi memenuhi keperluan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0. Penambahan silinder oksigen tersebut meliputi sebanyak 400 unit silinder oksigen bersaiz 6.8m3, sebanyak 1,000 unit silinder oksigen bersaiz 1.4m3 dan sebanyak 150 unit silinder oksigen bersaiz 0.7m3 untuk keperluan di dalam ambulan. Bagi memastikan pembekalan oksigen ke PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 tidak terganggu, KKM juga memutuskan untuk membuat perolehan oxygen concentrator sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih dari satu pembekal;

7. Melaksanakan kerja pengujian dan penyerahan (testing and commissioning) pada malam 7 Julai 2021 bagi 30 unit oxygen concentrator baharu di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 agar peralatan tersebut dapat digunakan segera untuk perawatan pesakit;

8. Mengoperasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil. Pengoperasian ILKKM ini membolehkan KKM menempatkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 agar PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 kategori 3 dan 4;

9. menyediakan pekerja sukarelawan, terutama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) bagi membantu menjaga pesakit COVID-19 kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka sedang dirawat di hospital kerana COVID-19; dan

10. Bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta dan pihak majikan untuk menubuhkan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan menubuhkan PKRC.


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED