Translate

10 September 2020

Empat remaja dicekup orang awam selepas ragut wanita (1 Video)


Dakwa nak telefon ibu sebelum ragut
 


 BERNAMA
09/09/2020 11:48 PM



KUALA LUMPUR, 9 Sept -- Tindakan pantas orang awam berjaya menggagalkan cubaan ragut oleh empat remaja ke atas seorang wanita di Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata dalam kejadian pada 8.40 malam itu, suspek remaja perempuan berusia 16 mendekati mangsa yang berada di tepi jalan untuk meminjam telefon bimbit dengan alasan mahu menghubungi ibunya.

“Ketika mangsa sedang menaip nombor yang diberikan, suspek bertindak merampas telefon bimbit itu dan melarikan diri.

“Orang ramai yang berada di sebuah kedai makan berhampiran tempat kejadian bertindak mengejar suspek dan tiga lagi rakan lelakinya,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa kesemua remaja lelaki yang berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun dan remaja perempuan itu diserahkan kepada Balai Polis Salak Selatan Baru untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata semakan mendapati keempat-empat suspek sudah tidak bersekolah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak terbabit dalam pengambilan dadah.

Katanya suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED