Translate

06 July 2020

Terowong dasar laut: Tiga Exco Pulau Pinang beri keterangan di SPRM (Video)



For A better Viewing Experience Click Play On Video & Rotate Phone For Landscape View












06/07/2020 06:36 PM



GEORGE TOWN, 6 Julai -- Tiga ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Pulau Pinang hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Negeri, Jagdeep Singh Deo tiba di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 9.30 pagi, diikuti Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Agama Islam negeri Chong Eng pada 11.23 pagi.

Jagdeep dilihat keluar pada 12 tengah hari setelah berada di premis berkenaan hampir tiga jam dan hanya melambaikan tangan ke arah wakil media yang berada di luar bangunan SPRM.


Usaha media menemu bual Exco berkenaan gagal kerana beliau terus bergegas meninggalkan kawasan itu.

Sementara itu, Chong Eng pula keluar pada 3.20 petang dan ketika ditemui media beliau memberitahu segala urusan mengambil keterangannya berjalan dengan lancar.

"Mereka (SPRM) bertanya tentang latar belakang saya dan meminta saya mengesahkan apa yang diterangkan dalam beberapa minit mesyuarat dan temu bual adalah berkaitan projek pembinaan tiga lebuh raya dan projek terowong dasar laut," katanya.


Ditanya adakah beliau akan dipanggil lagi untuk memberi keterangan selepas ini, Chong berkata: "Saya tidak tahu … apa yang mereka (SPRM) kata habis untuk hari ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi Exco negeri, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh dilihat memasuki pejabat SPRM pada 2.30 petang.

Terdahulu, beberapa pegawai SPRM hadir di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, dipercayai bagi meneruskan siasatan berhubung projek terowong dasar laut, dengan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.


Pada Jumaat lepas, dua pasukan SPRM mengambil keterangan beberapa petugas di pejabat Timbalan Ketua Menteri II Prof Dr P. Ramasamy dan pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri Zairil Khir Johari.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Jeffrey Chew yang ditahan reman selama empat hari mulai 1 Julai oleh SPRM untuk membantu siasatan berhubung projek itu, dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lepas (4 Julai).

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED