KLANG - Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera parah dibahagian kepala termasuk patah kedua-dua tulang peha akibat hentaman kuat dalam satu kemalangan di Jalan Hamzah Alang, Kapar, Klang malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, kereta Perodua Myvi yang dinaiki Syameel Shafiy Noor Shafizan bersama-sama datuk, Ahmad Faudzi Nasoha dan neneknya, Fauziah Baharon masing-masing berumur 52 tahun dilanggar oleh sebuah kereta Proton Wira dari arah depan.
Akibat pelanggaran tersebut, Ahmad Faudzi mengalami patah bahu manakala usus Fauziah terkoyak dan telah menjalani satu pembedahan kecil semalam. Kedua-duanya kini berada dalam keadaan stabil.
Menurut ibu Syameel, kejadian itu berlaku apabila sebuah kereta Hyundai Matrix berwarna perak yang berada di hadapan kereta bapanya melanggar Proton Wira yang berada di laluan bertentangan.
Katanya, akibat perlanggaran tersebut, kereta Proton Wira itu berpusing sebelum melanggar Perodua Myvi yang dinaiki ayah, ibu dan anaknya yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kapar dari Meru.
"Menurut ayah, sebelum kejadian kereta Hyundai Matrix yang berada di hadapannya dilihat dipandu secara berbahaya, terhuyung-hayang dan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Proton Wira yang dinaiki lima orang.
"Kereta Proton Wira yang hilang kawalan itu merempuh kereta ayah sehingga remuk dan berlaku hentaman kuat menyebabkan kedua-dua tulang peha anak saya patah.
"Akibat perlanggaran tersebut juga, sebuah motosikal yang berada di belakang kereta bapa juga gagal mengelak dan menghentam belakang kereta bapanya,"katanya ketika ditemui Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini semalam.
Bagaimanapun, Fatin yang sebelum ini merupakan wartawan sambilan di Biro Shah Alam memberitahu, pemandu kereta Hyundai tersebut bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. - K! ONLNE
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_23.htm#ixzz47yIjB8An
Hakcipta terpelihara