Translate

08 April 2016

Polis Johor Tembak Mati Tiga Penjenayah Dipercayai Terlibat Samun Bersenjata

WAN AHMAD NAJMUDDIN MOHD. (kanan) turut berada di lokasi melihat
.


JOHOR BAHARU, 7 April (Bernama) -- Tiga penjenayah dipercayai terlibat samun bersenjata api, maut ditembak polis dalam satu kejadian di Jalan Permas Utara, di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki itu, berusia 22 hingga 25 tahun, dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah itu.

"Kami mendapat maklumat awal daripada orang awam mengenai sebuah kereta yang mencurigakan sedang berlegar-legar di kawasan itu. Menyedari kehadiran pihak polis, ketiga-tiga suspek cuba melarikan diri dengan kereta berkenaan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini malam ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata suspek dipercayai terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika cuba melarikan diri.

Polis yang mula mengesan kereta itu di Jalan Permas 1, kemudiannya mengejar suspek sejauh kira-kira empat kilometer dengan berbalas tembakan, sebelum ketiga-tiga suspek tumpas.

"Dua penjenayah, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika dalam perjalanan ke hospital," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Mayat kesemua penjenayah itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

"Kami percaya mereka ini adalah geng penjenayah yang telah dan akan melakukan samun bersenjata api yang menyasarkan wang tunai dan wang transit di institusi kewangan," kata beliau.

Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya percaya ketiga-tiga suspek ini melakukan jenayah dengan menyasarkan pengawal keselamatan yang mengumpulkan duit.

Polis turut menjumpai dua pucuk pistol semi automatik di tempat kejadian dan mendapati kereta Toyota Camry yang digunakan penjenayah adalah kereta yang dicuri di Bukit Indah.

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED