Pembunuhan kejam, buli siber detik suram 2024
Bernama
14/12/2024
Jasad Istiqomah Ahmad Rozi ditemukan dalam keadaan amat menyayat hati selepas lima hari Allahyarham dilaporkan hilang.
KUALA LUMPUR: Tahun 2024 mencatatkan pelbagai peristiwa tragis menggemparkan negara, termasuk jenayah kejam yang meragut nyawa empat individu antaranya seorang kanak-kanak perempuan akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan.
Pada masa sama, dunia maya turut menjadi saksi kepada kematian tragis pempengaruh A.Rajeswary, 30, akibat tekanan buli siber, sekali gus memperlihatkan ancaman senyap kehidupan digital yang semakin membimbangkan.
Antara mengejutkan ialah kes seorang guru Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang di Pasir Gudang, Johor pada 26 Dis 2023.
Harapan untuk menemukannya selamat musnah apabila tubuhnya dijumpai lima hari kemudian dalam keadaan menyayat hati iaitu tanpa kepala dan tangan di dalam tong sampah yang dibuang ke dalam longkang di Alor Gajah, Melaka.
Selepas siasatan hampir tujuh bulan, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah pada 12 Ogos lepas mengesahkan mayat adalah milik Istiqomah dan menahan sepasang suami isteri di Chemor, Perak yang dipercayai mengenali mangsa melalui urusan pelaburan mata wang asing (Forex).
Kes kehilangan seorang bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, 25, turut mendapat perhatian masyarakat dan liputan meluas media tempatan.
Dilaporkan hilang pada 11 Julai 2024, mayatnya ditemukan lima hari kemudian di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Bernam, Selangor.
Seorang anggota polis berusia 26 tahun yang juga kenalan mangsa kemudian ditahan dan pada 26 Julai didakwa di Mahkamah Majistret Hulu Selangor atas pertuduhan membunuh.
Di Sungai Siput, Perak, kes pembunuhan kanak-kanak Orang Asli Nuraina Humaira Rosli, 10, meruntun jiwa bukan sahaja dalam kalangan komuniti Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, tetapi juga seluruh rakyat negara ini.
Mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan lembam dilaporkan hilang pada 16 Ogos sebelum mayatnya ditemukan keesokan harinya di kawasan berpaya berdekatan kampungnya.
Hasil bedah siasat mendedahkan Nuraina Humaira meninggal dunia akibat tekanan di leher serta terdapat kesan koyakan pada bahagian sulit, menunjukkan mangsa dipercayai dirogol sebelum dibunuh.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, yang juga saudara terdekat mangsa bagi membantu siasatan, seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada 26 Ogos lepas atas tuduhan membunuh.
Pembunuhan kejam Sabari Baharom, 62, juga menambah satu lagi episod gelap tahun ini. Pesara Felcra itu dilaporkan hilang di Baling, Kedah sejak 4 Sept dan disyaki dibunuh dengan cara dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, dalam keadaan tangan diikat serta mulut ditutup dengan pita pelekat.
Motif pembunuhan dipercayai samun dan pada 17 Okt dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh, namun jasad pesara itu masih belum ditemukan sehingga kini.
Sementara itu, berbeza dengan kes jenayah kejam lain, kematian pempengaruh A.Rajeswary atau lebih dikenali Esha akibat tekanan buli siber membuktikan dunia maya boleh menjadi medan ancaman baharu yang menjurus kepada kehilangan nyawa individu.
Mangsa ditemukan meninggal dunia di kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat laporan polis berhubung gangguan buli siber yang dialaminya.
Kes berkenaan membawa kepada pendakwaan dua individu di Mahkamah Kuala Lumpur pada 16 Julai lepas. Seorang lelaki yang juga pemandu lori didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan, manakala seorang wanita didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Tragedi menimpa Esha memberi pengajaran besar kepada masyarat tentang kesan buruk buli siber yang tidak boleh dipandang remeh.
Kematian itu antara yang mencetus usaha kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 bagi mengekang jenayah siber yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Kerajaan juga telah meminda Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, bertujuan memastikan ekosistem digital di negara ini bukan sahaja berkembang pesat, tetapi juga lebih selamat dan bebas daripada ancaman jenayah siber.
Tahun 2024 menjadi cerminan realiti yang dihadapi masyarakat hari ini, dengan ancaman terhadap keselamatan bukan sahaja hadir secara fizikal tetapi juga dalam ruang digital. Kesedaran masyarakat dan langkah proaktif semua pihak adalah kunci untuk memastikan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni pada masa hadapan. - BERNAMA