Translate

15 December 2024

Trump lantik bekas Duta AS ke Jerman Grenell sebagai utusan khas



Trump lantik bekas Duta AS ke Jerman Grenell sebagai utusan khas

Bernama

15/12/2024


Trump berkata, Richard Grenell (gambar) akan bekerja di beberapa kawasan 'panas' di seluruh dunia, termasuk Venezuela dan Korea Utara. - AP


WASHINGTON: Bekas Duta Amerika Syarikat ke Jerman, Richard Grenell, dilantik sebagai utusan khas untuk misi khas oleh Presiden Terpilih Donald Trump, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Ric akan bekerja di beberapa kawasan 'panas' di seluruh dunia, termasuk Venezuela dan Korea Utara,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social, pada Ahad.

"Ric akan terus memperjuangkan keamanan melalui kekuatan dan sentiasa meletakkan 'Amerika di tempat pertama',” katanya.

Semasa bertugas di Berlin pada 2018 semasa penggal pertama Trump sebagai presiden, Grenell sering mengkritik Jerman dan bekas Canselornya, Angela Merkel, berhubung sumbangan kewangan Jerman yang dianggap tidak mencukupi kepada perikatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Selepas tamat tempoh perkhidmatannya, Grenell, 58, kerap mengkritik Jerman. Malah, apabila Kementerian Luar Jerman menyindir kenyataan Trump dalam debat kempen pilihan raya di platform X, Grenell menyifatkannya sebagai campur tangan pilihan raya.

Grenell, penyokong setia Trump, pernah dipertimbang untuk dilantik sebagai Setiausaha Negara, namun jawatan itu kemudian diberikan kepada Senator Florida, Marco Rubio.

Pada Sabtu, Trump turut mengumumkan pelantikan bekas anggota Kongres Republikan dari California, Devin Nunes, seorang lagi penyokong setianya, sebagai Ketua Lembaga Penasihat Perisikan Presiden yang baharu. Nunes juga akan mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Truth Social.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan, Nunes terlibat dalam konfrontasi dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengenai dakwaan Rusia membantu Trump memenangi Pilihan Raya 2016. Trump secara konsisten menafikan dakwaan itu dan menyebutnya sebagai “penipuan Rusia.”

Siasatan menyeluruh oleh Penasihat Khas, Robert Mueller dan pasukannya, mengesahkan campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016, namun tiada bukti menunjukkan Trump atau sesiapa dalam kempen beliau bersekongkol dengan Rusia.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED