Translate

15 December 2024

Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand



Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand

Bernama

15/12/2024


Walaupun mencuba sehabis baik, Malaysia tetap gagal menemui jalan untuk bangkit dalam perlawanan tersebut. - Foto Facebook/Football Association of Malaysia


BANGKOK: Malaysia memilih jalan sukar untuk aksi di pentas separuh akhir selepas tewas tipis 1-0 di tangan juara bertahan Thailand pada perlawanan ketiga Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Rajamangala di sini, malam tadi.

Di sebalik penguasaan tuan rumah, menyaksikan Harimau Malaya banyak bertahan pada separuh masa pertama apabila pemain tengah serangan Thailand Suphanat Mueanta mengatur beberapa gerakan berbahaya.

Namun, tiada rakan sepasukannya yang berjaya memanfaatkan hantaran Suphanat untuk menjaringkan gol.

Anak buah Pau Marti Vincente bergelut untuk mencipta peluang bermakna, hanya sesekali berjaya memasuki kawasan kotak penalti Gajah Perang dengan penyerang Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Endrick Dos Santos Parafita gagal memberikan ancaman kepada penjaga gol Thailand Patiwat Khammai dengan percubaan mereka.

Thailand, juara tujuh kali, akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-57 selepas kesilapan penjaga gol Malaysia, Muhammad Haziq Nadzli.

Hantaran Haziq yang tersasar singgah di kaki Suphanat yang mengumpan kepada penyerang muda kelahiran Sweden Patrik Gustavsson yang tidak melepaskan peluang itu untuk menyempurnakan jaringan penentu perlawanan.

Ketinggalan 0-1, Malaysia berusaha keras untuk mencari gol penyamaan dengan Endrick Dos Santos hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68, namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh Patiwat.

Walaupun mencuba sehabis baik, Malaysia tetap gagal menemui jalan untuk bangkit dalam perlawanan tersebut.

Keputusan itu menyaksikan Thailand menungguli Kumpulan A, terikat enam mata bersama Singapura yang menewaskan Timor Leste 3-0 tetapi dibezakan jaringan manakala Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata.

Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke pentas separuh akhir.

-- BERNAMA




Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED