Translate

13 December 2024

Bekas remisier didakwa tipu anak bekas Menteri Wilayah Persekutuan berhubung pembelian saham



Bekas remisier didakwa tipu anak bekas Menteri Wilayah Persekutuan berhubung pembelian saham

Bernama

13/12/2024


Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang bekas remisier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu anak bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam urusan pembelian saham syarikat pembekalan peralatan golf, tahun lepas.

Ali Imran Mohamad, 26, yang ketika itu kakitangan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, didakwa menipu Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik, 36, dengan memperdayakan mangsa agar mempercayai bahawa dia boleh menguruskan segala urusan pembeliaan saham MST Golf berjumlah 1,000,000 unit dengan harga jualan RM900,000 sedangkan tertuduh tidak pernah membuat sebarang pembelian saham tersebut.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang terbabit kepada Ali Imran menerusi akaun bank atas nama MZ Riqueza Resources milik ibu mentua tertuduh dan dia telah menggunakan RM655,440 bagi kepentingan peribadi serta hanya memulangkan RM244,560 kepada Raja Hamzah Abidin.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar di sini pada 18 Julai 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M.Saravanan menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin manakala peguam J.Joel Ruben memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga serta isterinya sedang mengandung anak kedua.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED