Translate

13 November 2024

Singapura perkenal undang-undang perkukuh perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja



Singapura perkenal undang-undang perkukuh perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja

Bernama

13/11/2024


Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (SNEF) menyatakan sokongan penuh mereka terhadap Undang-undang Keadilan di Tempat Kerja. - Gambar hiasan


SINGAPURA: Singapura memperkenalkan undang-undang baharu untuk mempertingkatkan perlindungan terhadap diskriminasi di semua peringkat pekerjaan, memberikan kuasa yang lebih luas kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar peraturan.

Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja (WFB) yang merupakan bahagian pertama daripada Undang-undang Keadilan di Tempat Kerja (WFL), telah dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, pada Selasa.

Bacaan kedua rang undang-undang ini dijangka pada Januari 2025, manakala rang undang-undang kedua di bawah WFL yang akan memperkenalkan hak dan proses untuk individu membuat tuntutan peribadi di bawah undang-undang ini akan dibentangkan pada tahun hadapan. Kedua-dua rang undang-undang ini dijangka berkuat kuasa pada 2026 atau 2027.

Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata, setelah rang undang-undang ini diluluskan, majikan boleh dikeluarkan arahan pembetulan untuk memperbaiki isu-isu di syarikat mereka. Dalam kes-kes yang sangat serius, majikan boleh dikenakan denda sehingga S$50,000 untuk kesalahan pertama dan sehingga S$250,000 untuk kesalahan berulang.

Rang Undang-Undang Keadilan di Tempat Kerja menyediakan perlindungan terhadap bentuk-bentuk diskriminasi yang biasa di tempat kerja dengan melarang majikan membuat keputusan yang merugikan semasa pengambilan pekerja, ketika tempoh penggajian dan pemecatan berdasarkan ciri-ciri yang dilindungi.

Ciri-ciri yang dilindungi oleh WFL merangkumi umur, kerakyatan, jantina, status perkahwinan, status kehamilan, tanggungjawab penjagaan, bangsa, agama, bahasa, ketidakupayaan, dan keadaan kesihatan mental.

Garis Panduan Tripihak untuk Amalan Pekerjaan yang Adil (TGFEP) yang diperkenalkan pada 2007 akan terus digunakan untuk menangani bentuk diskriminasi lain yang tidak diliputi oleh WFL.

Namun, WFL memberikan fleksibiliti bagi keperluan sebenar perniagaan dalam empat keadaan - untuk prestasi kerja yang munasabah, kesihatan dan keselamatan, privasi serta alasan undang-undang dan peraturan.

"Sebagai contoh, sebuah spa mungkin mengupah ahli terapi wanita untuk melayan pelanggan wanita mereka," kata jurucakap dalam satu taklimat media.

Syarikat kecil dengan kurang daripada 25 pekerja akan dikecualikan daripada undang-undang ini, walaupun pengecualian ini akan disemak semula dalam tempoh lima tahun.

Pengecualian lain termasuk organisasi agama yang dibenarkan membuat keputusan pekerjaan berdasarkan agama.

Sementara itu, WFL juga mewajibkan majikan untuk menubuhkan proses pengendalian aduan bagi memudahkan penyelesaian pertikaian di peringkat syarikat. Sepanjang proses ini, majikan diwajibkan untuk mengekalkan kerahsiaan pekerja.

Kongres Kesatuan Sekerja Nasional (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (SNEF) dalam kenyataan berasingan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap WFL.

Menurut NTUC, jika diluluskan, rang undang-undang ini akan meningkatkan kesan pencegahan dan penguatkuasaan terhadap amalan diskriminasi oleh majikan dan menyediakan pembelaan untuk mangsa diskriminasi seperti pampasan.

Manakala SNEF pula untuk membantu majikan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (SMEs), memenuhi piawaian WFL, ia akan bekerjasama rapat dengan rakan tripihak untuk menyediakan garis panduan, sumber dan perkhidmatan nasihat yang komprehensif.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED